fbpx
SALAH satu laluan (dalam bulatan) masuk ke tempat penyimpanan harta karun yang ditebuk dengan kedalaman lima meter.

Penunggu harta Sultan Mahmud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kerajaan Melaka tidak pernah berhenti mencari harta karun bernilai berbilion ringgit yang didakwa di­sembunyikan oleh Sultan Mahmud Shah di Pulau Nangka di sini.

Harta yang disembunyikan di dalam 84 buah peti oleh sultan terakhir Me­laka sebelum dijajah Portugis pada tahun 1511 itu masih tersimpan rapi kerana pihak berkuasa masih belum diberi ‘kata kunci’ untuk membawa keluar harta yang didakwa dikawal ‘penunggu’.

Harta-harta itu disimpan di dalam peti yang setiap satunya sepanjang 1.8 meter bersamaan saiz keranda mayat orang Cina dahulu kala. Antara kandungan di dalam peti berkenaan dipercayai syiling emas, mahkota, persalinan dan berlian.

Sebelum ini, ada pihak yang diberi kepercayaan untuk mengeluarkan harta karun tersebut namun diberhentikan selepas mereka hanya menemui dua keping syiling lama sahaja di situ pada 2015.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka, Mohd. Nasruddin Rahman berkata, Pulau Nangka yang terletak 17 kilometer dari kawasan pantai itu ternyata menyimpan khazanah bernilai selepas dibuktikan dengan mesin pengesan logam khas pada 1995.

Difahamkan, pencarian sebenar harta itu bermula pada 1991.

“Setakat ini lebih 200 pakar arkeologi telah dipanggil bagi menggandakan usaha mengeluarkan harta zaman silam itu namun ia masih menemui jalan buntu dan dikaitkan dengan misteri ‘penunggu’ gua.

“Kita melihat tiga perkara iaitu mitos, legenda dan sejarah. Pelbagai kajian terperinci untuk menggali laluan masuk ke gua melalui darat dan laut, namun tidak berhasil,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, kejadian-kejadian mistik yang berlaku itu terlalu sukar untuk dijelaskan oleh pakar termasuk mesin gerudi (tunnel boring machine) yang dalam keadaan baik tiba-tiba rosak.

Menurut Mohd. Nasruddin, selain usaha kerajaan negeri, pe­luang dibuka kepada syarikat tempatan untuk bersama-sama mengeluarkan harta berkenaan sehingga menelan kos jutaan ringgit.

“Setakat ini memang tiada sebab lain yang menghalang kita mendapatkan harta itu melainkan ‘penunggu’ gua itu. Punca ini turut diakui dan disaksikan oleh seorang pendakwah terkenal.”

“Ketika itu beliau telah datang untuk membantu kita menjalankan kajian dari sudut perkara ghaib dan beliau telah membuktikan bahawa terdapat harta karun sebanyak 84 peti di kawasan itu, namun dijaga oleh ‘penunggu’.

“Kita tahu kedalaman logam tersebut iaitu kira-kira enam meter, namun walaupun kerja-kerja penggalian sudah mencecah 10 meter, harta tersebut tidak ditemui. Ada juga kejadian tiba-tiba laluan itu tertutup sendiri. Kami ibarat tidak mempunyai ‘kata kunci’,” katanya.

Tambahnya, pendakwah tersebut ketika itu turut dibantu oleh dua pakar daripada institusi agama.

Ujarnya, kerajaan negeri masih berusaha keras untuk mendapatkan ‘kata kunci’ tersebut melalui bantuan pihak tertentu dan dalam masa sama merancang bekerjasama dengan pakar arkeologi laut dari China.

Mohd. Nasruddin yakin harta itu dapat dikeluarkan kerana telah banyak artifak berjaya ditemukan oleh pakar-pakar di dalam dan luar negara.

“Melaka adalah sebuah entiti kerajaan yang sangat kaya pada suatu ketika dahulu, termasuk emas dan ufti-ufti diterimanya da­ripada pedagang pada waktu itu.

“Mengikut sejarah, Melaka kalah kepada Portugis pada tahun 1511, dalam keadaan gopoh-gapah untuk berundur, bagaimana Sultan Mahmud mahu membawa semua harta tersebut?

“Kita percaya gua di Pulau Nangka ini adalah ‘bilik kebal’ harta penyimpanan Sultan Mahmud Shah, yang boleh dikeluarkan dengan ‘kata kunci’ yang be­tul,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN