RAMAI yang bimbang dengan situasi yang berlaku baru-baru ini apabila beberapa pesawat asing dikatakan berada dan menceroboh ruang udara negara ini dan isu ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Kes pertama merekodkan sebuah pesawat milik Israel yang dikhabarkan direka untuk menampung sistem perisikan berlegar-legar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Singapura.
Pada 31 Mei lalu pula, 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara negara.
Bagi membincangkan isu itu, Kosmo! Ahad menemu bual Penganalisis Pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor baru-baru ini.
KEHADIRAN pesawat asing di ruang udara Malaysia baru-baru ini menjadi perdebatan hangat pelbagai pihak dan ada juga yang meluahkan kerisauan terhadap isu tersebut kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara.
Dua minggu lalu, sebuah pesawat milik Israel dikesan berlegar-legar di ruang udara Malaysia kira-kira empat jam sebelum mendarat di pangkalan tentera udara di Singapura.
Pesawat berkenaan dikatakan direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial.
Pada 31 Mei lalu pula, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan sebanyak 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara negara.
Ekoran itu, kerajaan perlu memikirkan untuk menambah atau menggantikan pesawat tempur TUDM sedia ada dengan yang baharu bagi membolehkan ruang udara negara dikawal dengan lebih efisien.
Bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Zubaidah Ibrahim menemu bual Penganalisis Pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Bagaimana persempadanan udara sesebuah negara ditentukan? Adakah pesawat bebas terbang di luar sempadan mana-mana negara?
Muhammad Fuad: Sejak Konvensyen Paris pada tahun 1919, Konvensyen Havana (1928), Konvensyen Chicago (1944) hinggalah Konvensyen Geneva (1958), hak persempadanan darat sebuah negara berdaulat termasuk juga semua ruang udara di dalam serta di atas sempadan yang diperakui.
Tidak ada negara dibenarkan untuk menceroboh persempadanan darat mahupun memasuki ruang udara sebuah negara berdaulat lain tanpa kebenaran.
Pencerobohan ruang udara tanpa kebenaran dianggap sebagai langkah berbahaya menyebabkan dua negara bakal berdepan krisis diplomatik dan jika gagal diselesaikan, boleh mengheret ke kancah peperangan.
Umum kerap keliru dengan peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ia bukan sebuah pertubuhan regulatori penerbangan antarabangsa. ICAO tidak mempunyai kuasa untuk membuat atau melaksana sebarang akta atau undang-undang.
Pertubuhan itu tidak mempunyai kuasa mengehadkan kawasan ruang udara sesebuah negara, melarang laluan udara tertentu atau melabelkan sesebuah syarikat penerbangan sebagai memiliki prestasi keselamatan dan khidmat pelanggan yang teruk.
Nyatakan pihak yang terlibat dalam mempertahankan ruang udara Malaysia selain TUDM?
Umum mengetahui ruang udara negara adalah tanggungjawab utama TUDM iaitu pengawalan ruang angkasa untuk digunakan bagi tujuan damai, di samping menghalang penggunaannya oleh pihak musuh.
Selain keupayaan pertahanan tempur di udara, TUDM turut bertanggungjawab terhadap ancaman elektronik daripada platform udara pihak tidak bertanggungjawab.
Selain TUDM, untuk mempertahankan ruang udara terutama menghadapi ancaman pesawat aras rendah dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan unit Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) .
Ia merangkumi aset peluru berpandu aras rendah dan meriam penangkis pesawat udara.
Peristiwa kehilangan pesawat MH370 pada 2014 sepatutnya menjadi wake-up call atau kesedaran kepada semua pihak supaya dapat bekerjasama untuk cuba merungkai sesuatu insiden di ruang udara pada peringkat awal, terutamanya pihak yang mempunyai kaitan dengan sistem pengesanan dan pemantauan pesawat di ruang udara negara.
Ia termasuklah pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
CAAM mempunyai tiga lokasi radar yang mampu memberikan ‘amaran’ awal mengenai lokasi, jenis pesawat dan arah penerbangan pesawat yang melalui ruang udara negara.
Sebagai contoh, untuk Pantai Barat Semenanjung, radar di Bukit Chengkuan, Langkawi mempunyai jarak pengesanan antara 111 kilometer (radar utama) dan 463 kilometer (radar sekunder). Sistem sama juga terdapat di Sepang, Selangor dan Mersing (Johor).
Apakah prosedur yang perlu dipatuhi sekiranya mana-mana pihak luar ingin memasuki ruang udara negara ini? Sememangnya terdapat syarat-syarat khusus ditentukan oleh CAAM kepada mana-mana pesawat komersial yang ingin memasuki atau menggunakan ruang udara Malaysia.
Seperti dijelaskan, di bawah Konvensyen Chicago, setiap negara mempunyai hak mutlak terhadap penggunaan ruang udaranya.
Ini bermakna, semuanya berada di bawah kawalan CAAM termasuklah kapasiti dan kemampuan pesawat serta kru, arah laluan, kelajuan dan ketinggian pesawat terbang.
Jika CAAM tidak memberi kebenaran, maka pesawat luar tidak boleh memasuki ruang udara negara ini.

Apakah pandangan mengenai pesawat Israel yang memasuki ruang udara Malaysia baru-baru ini? Adakah ia perkara biasa?
Ia adalah satu insiden ‘menarik’ daripada sudut strategi penggunaannya memasuki ruang udara negara ini.
Namun, ia merupakan satu insiden yang boleh dianggap ‘menyerlahkan kepincangan’ dalam sistem pengawasan, pengawalan dan mekanisme arahan serta kawalan ruang udara.
Sekiranya ia pesawat komersial awam, maka tentunya keputusan CAAM untuk membenarkan ia terbang melalui ruang udara negara adalah satu perkara biasa.
Tetapi ia bukan satu ‘pesawat biasa’ dan bukan pula pesawat komersial membawa penumpang yang penerbangannya harus diberikan kelulusan mengikut peraturan ICAO.
Walaupun pesawat itu mendapat kelulusan melalui ruang udara negara ini, tetapi ramai bimbang ia mempunyai niat ‘serong’ seperti tujuan perisikan ekoran Malaysia merupakan penyokong tegar Palestin. Mohon pandangan dalam hal ini?
Sememangnya keresahan ditimbulkan umum adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.
Ramai tidak mengetahui secara terperinci mengenai peranan yang mampu dimainkan pesawat sedemikian dan kenyataan CAAM pula dilihat mahu meredakan keresahan setelah isu itu dipersoalkan banyak pihak.
Persoalan utama apakah CAAM dan TUDM mempunyai sistem pangkalan data dan mekanisme semak maklumat untuk membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi mengenal pasti pesawat yang bakal melalui ruang udara negara adalah pesawat komersial tulen dan bukan sebaliknya.
Ini bukan isu remeh kerana menjadi penyokong tegar Palestin tentunya akan meletakkan negara dalam senarai hitam Israel.
Pembunuhan pensyarah kejuruteraan elektrik, Fadi al-Batsh yang merupakan ahli Hamas berasal dari Gaza yang telah lama menetap di Kuala Lumpur pada 2018 adalah satu amaran yang amat jelas.
Adakah kita patut berasa curiga dengan kehadiran pesawat Israel tersebut?
Semestinya pihak berwajib perlu curiga sejak dari awal permohonan pesawat milik Israel itu untuk terbang di ruang udara negara.
Ia boleh dianggap sebagai bukan pesawat penumpang komersial kerana pemiliknya bukan EL AL yang merupakan syarikat penerbangan komersial nasional Israel.
Ia hanya mempunyai sifat fizikal pesawat dan nombor badan bercirikan pesawat komersial.
Sebaliknya, pesawat pendaftaran 4X-AOO milik Israel itu sangat unik kerana kesemua sistem pengintipan elektronik yang dipasangkan padanya bersifat tidak dilengkapkan tetapi boleh dipasang (FFBNW).
Ia bermaksud sebagai satu platform asal, pesawat itu tidak dipasangkan dengan apa-apa peralatan tambahan dan secara fizikal, ia tidak berubah bentuk.
Pemerhatian secara dekat memperlihatkan sebaliknya, iaitu dengan badan pesawat mempunyai sejumlah sistem pautan boleh dipadankan dengan pelbagai sistem penderia bagi tujuan perisikan, pemerhatian dan pemantauan elektronik untuk ketenteraan.
Malah bagi pesawat 4X-AOO yang terbang di ruang udara Malaysia itu mempunyai tiga pod modular yang boleh ditanggal dan dipasang pada bahagian muncung pesawat bergantung kepada jenis misi pengintipan elektronik.
Foto-foto yang dipamerkan kepada umum oleh media cetak dan elektronik lazimnya memaparkan gambar pesawat 4X-AOO tanpa apa-apa sistem FFBNW pada badan sehingga mengelirukan banyak pihak. Ini semestinya strategi terancang Israel agar aktiviti pengintipan mereka sukar dikesan.
Kenyataan CAAM bahawa pesawat 4X-AOO hanya terbang dan tidak berlegar-legar di ruang udara negara seakan mahu memberi gambaran, pengintipan hanya berlaku apabila sesebuah pesawat berlegar atau berputar di atas kawasan sasaran untuk tempoh tertentu bagi mengumpulkan data.
Sepatutnya dalam hal ini, pihak berwajib perlu menghantar pesawat pemintas untuk ‘melihat’ pesawat yang dicurigai seperti ini.
Seharusnya sebuah pesawat TUDM ‘mengiringinya’ dari masa ia mula memasuki ruang udara negara sehingga keluar.
Dengan cara pemantauan fizikal, juruterbang mampu melihat apakah pesawat ini telah dipasangkan dengan sistem-sistem penderia elektronik yang boleh melakukan proses pengintipan atau tidak.
Bagaimana pula dengan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu baru-baru ini?
Tahniah kepada TUDM atas kecekapan dan kemampuan aset miliknya mengesan serta mengawal ruang udara negara daripada diceroboh.
Ini membuktikan aset radar pengesanan dan pemantauan TUDM berfungsi dengan baik bagi mengesan kehadiran pesawat penceroboh dan kepantasan memintas laluan pesawat asing daripada memasuki ruang udara negara.
Berbalik kepada isu dakwaan pencerobohan, sebenarnya pesawat-pesawat itu membuat pusingan berpatah balik di ruang udara Beting Patinggi Ali iaitu kawasan yang masih menjadi pertikaian tiga negara iaitu Taiwan, China dan Malaysia.
Oleh itu, tidak timbul isu pencerobohan kerana mereka hanya berada di sekitar kawasan berkenaan dan di luar 12 batu nautika dari pantai Malaysia yang merupakan kawasan ruang udara mutlak negara mengikut perjanjian Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Apatah lagi, China menganggap Beting Patinggi Ali merupakan wilayah paling selatan negara tersebut, maka baginya ia bukanlah satu pencerobohan.
Mereka hanya boleh dianggap menceroboh sekiranya pesawat-pesawat tersebut terbang memasuki kawasan dalam jarak 12 batu nautika dari pantai negara ini.
Dalam pada itu, melihat kepada formasi pesawat-pesawat selain tiada pesawat tempur atau pemintas mengiringinya juga menunjukkan mereka menjalani latihan ketenteraan dan bukannya bertujuan menceroboh.
Pun begitu, tindakan kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan diplomatik kepada China harus dipuji kerana ia menunjukkan ketegasan dalam mempertahankan kedaulatan negara ini daripada ancaman pencerobohan.
Adakah tiba masanya Malaysia membeli pesawat pejuang baharu memandangkan pesawat sedia ada telah dimamah usia. Jika perlu, apakah cadangan jenis pesawat yang perlu diperoleh?
Banyak program perolehan pesawat dan sistem terkini TUDM terbengkalai atas pelbagai sebab. Dua sebab utama ialah kekangan kewangan dihadapi kerajaan serta pandemik Covid-19.
Antara program yang dirancang tapi sehingga kini tidak menjadi kenyataan adalah perolehan pesawat tempur pelbagai misi (MRCA) yang dianggap kritikal, pesawat radar pemantau dan amaran awal (AEWC), program peningkatan pesawat CN235 kepada versi pesawat pengawasan rondaan maritim (MPA), program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D dan program pesawat tanpa pemandu (UAV).
Hari ini TUDM mempunyai kekuatan sejumlah 26 pesawat tempur barisan hadapan yang terdiri dari 18 buah Su-30MKM dan 8 Boeing F/A-18D.
Pesawat-pesawat ini dibantu oleh 20 pesawat BAE Hawk 108 dan 208 yang mempunyai kemampuan terhad dari sudut sistem elektronik, persenjataan serta jarak penerbangan.
Dengan penangguhan program MRCA, pada 2020, TUDM mengumumkan bakal memperolehi pesawat latihan berprestasi tinggi (FLIT) yang sekiranya perlu, boleh diguna pakai sebagai pesawat tempur ringan (LCA) melalui dua fasa dengan jumlah keseluruhan 36 pesawat.
Persoalannya ialah mampukah pesawat jenis FLIT/LCA mengambil tempat sebagai pesawat barisan hadapan seperti Rafale atau Eurofighter Typhoon yang pada suatu ketika diuar-uarkan sebagai calon MCRA TUDM?
Mungkin jalan terbaik untuk mengatasi kekangan kewangan ialah kembali melaksanakan program perolehan dengan klausa timbal balik eksport minyak sawit.
Pada kali terakhir pameran LIMA di Langkawi, wakil firma Rostec yang mewakili firma-firma persenjataan Rusia telah menyatakan kemungkinan penawaran sedemikian sekiranya Malaysia berminat.
Apa yang ditawarkan juga adalah pesawat berkemampuan tinggi, bukan sahaja penambahan perolehan pesawat Su-30 tetapi mungkin juga Su-57 yang merupakan pesawat tempur halimunan terkini Rusia.
Ini mungkin peluang terbaik TUDM menampung ‘lubang’ platform pertahanannya dengan pesawat yang digeruni dan berkeupayaan tinggi dalam keadaan kewangan negara yang kini dilihat semakin terhad.
Sejauh mana tahap kesiapsiagaan negara dalam mengesan pencerobohan?
Kesiapsiagaan negara banyak bergantung kepada aset khusus dimiliki TUDM.
Daripada sudut pengesanan dan kawalan umpamanya, dipercayai TUDM memulakan langkah peningkatan kemampuan pengesanan sejak tahun 2008 dengan menubuhkan sistem sektor pertahanan udara MADGE SOC III.
Sistem itu perlu untuk mengintegrasikan sistem arahan dan kawalan kesemua pesawat tempur dimiliki TUDM agar dapat beroperasi di atas satu platform operasi.
Perolehan sistem radar Thales Ground master-406 pada tahun 2013 yang mempunyai jarak pemantauan sehingga 470 kilometer dibuat bagi memantapkan lagi kemampuan.
Bagi membantu TUDM, TDM dengan unit GAPU turut memainkan peranan dalam sistem pertahanan udara negara.
Pada tahun 2007 ia memperolehi aset berteknologi tinggi apabila mengendalikan sistem radar pengawasan pasif jarak jauh iaitu VERA-E buatan firma Omnipol dengan jangkauan sehingga 450 kilometer.














