SEJAK Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) melancarkan Navara versi yang diperkemas (facelift) beberapa bulan lalu, model itu kini menjadi buah mulut peminat-peminat kenderaan jenis pikap di Malaysia kerana rupanya yang mengancam.
Rekaan luarannya nampak lebih garang dan sinonim dengan karakter sebuah trak pikap.
Trend sebuah trak pikap di Malaysia kini bukan sahaja untuk kegunaan tugas-tugas berat, malah golongan profesional turut memandunya ke pejabat.
Berdasarkan permintaan yang memberangsangkan itu, setiap pengeluar trak pikap di Malaysia mula bersaing dengan mengeluarkan varian tertinggi mereka yang menawarkan rekaan dan aksesori menarik.
Sebagai contoh, Toyota Hilux ada Rogue, Ford Ranger (Wildtrak dan Raptor) serta Isuzu D-Max (X-Terrain). Setiap jenama itu menawarkan ciri-ciri menarik pada pikap keluaran mereka.
Tidak mahu ketinggalan daripada jenama lain, ETCM telah memperkenalkan Pro-4X sebagai varian tertinggi dalam kelas Navara facelift ketika dilancarkan.

Antara ciri-ciri di bahagian luaran yang ketara pada varian itu ialah gril hadapan interlock baharu yang berwarna hitam dengan perkataan ‘NAVARA’ dicetak di atasnya.
Emblem Nissan berwarna hitam di hadapan dan belakang dengan logo baharu itu turut dipasang pada varian ini di samping kemasan warna oren dan hitam pada bampar hadapan.
Dapra (fender) berwarna hitam turut dihiasi kemasan berwarna oren, manakala roof rails, cermin sisi, pemegang pintu dan pemijak sisi menggunakan warna hitam.
Bahagian roda juga menggunakan rim aloi Pro-4X bersaiz 17 inci lengkap dengan tayar All-Terrain saiz 255/65.
Selain itu, satu lagi perkara yang menarik di bahagian luaran ialah sistem Utili-Track Channel baharu dengan dua saluran dan empat cangkuk aluminium tahan lasak bagi membolehkan pengangkutan barangan lebih selamat dan terjamin di bahagian kargonya.
ETCM menawarkan empat warna pilihan kepada pembeli model ini seperti kelabu (Stealth Grey), merah (Burning Red), hitam (Black Star) dan putih mutiara.

Apa yang menarik perhatian penulis. trak pikap itu turut hadir dengan kaca laminasi akustik pada cermin utama dan tingkap hadapan. Saya difahamkan ciri-ciri ini berfungsi untuk menyingkirkan bunyi bising dan menambah baik aspek kesenyapan.
Ciri Tailgate Assist pula membantu membuatkan pintu ruang kargo di bahagian belakang lebih ringan apabila dibuka dan ditutup.
Pada bahagian dalaman pula, varian Pro-4X ini menggunakan tempat duduk sport yang diinspirasikan daripada Zero Gravity. Tempat duduk itu dibaluti material kulit berwarna hitam dengan sulaman logo Pro-4X.
Pada bahagian belakang juga terdapat corong penghawa dingin yang membolehkan penumpang di bahagian belakang berasa lebih selesa.
Trak pikap itu menggunakan enjin diesel 2.5 liter turbo dan transmisi tujuh kelajuan automatik dengan mod manual.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 190PS pada 3,600 rpm dan tork maksimum 450Nm pada 2,000 rpm.
Di atas kertas, Nissan mendakwa pikap ini mampu untuk bergerak sejauh 950 kilometer (km) dengan satu tangki penuh bersaiz 80 liter.

Kenderaan itu dilengkapi suspensi belakang jenis Multilink dengan Dual-Rate Coil Springs yang berfungsi mengurangkan pergerakan badan kenderaan.
Sistem Electronic Locking Rear Differential baharu pula berfungsi mengunci kedua-dua roda belakang untuk membolehkannya berpusing pada kelajuan yang sama jika tersekat di laluan berpasir, berlumpur dan permukaan jalan yang mencabar.
Ciri-ciri keselamatan lain yang hadir pada model ini seperti Vehicle Dynamic Control, Traction Control System, Active Brake Limited Slip Differential, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan Anti-Lock Braking System.
Ia juga hadir dengan ciri-ciri keselamatan teknologi Nissan Intelligent Mobility sedia ada.
Kesimpulannya, Nissan Navara Pro-4X mampu untuk bersaing dengan jenama lain menerusi karakter lasak, bergaya dan ciri-ciri canggih.
Dalam masa yang sama juga, jentera ini dapat meneruskan warisan atau legasi trak pikap Nissan yang dikenali sebagai Mother Trucker di Malaysia.
ETCM menawarkan varian baharu dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer, atau mana-mana tiba dahulu.














