Jika sebelum ini, syarikat perniagaan kepingan kayu di Negeri Sembilan itu hanya membuang sahaja sisa pertanian berupa habuk kayu pokok getah dan perabot mereka, kini sisa berkenaan dijana semula untuk dijadikan bahan utama penghasilan cendawan tiram raja atau Eryngii mushroom.
Langkah tersebut bukan sekadar strategi bisnes syarikat berkenaan bahkan merupakan sebahagian daripada usaha bagi melestarikan penggunaan sisa industri dan pertanian.
Di samping bijak mempelbagaikan produk syarikat, inisiatif itu nyata dapat memelihara persekitaran daripada terus diancam pencemaran dan isu-isu alam sekitar yang lain bahana sisa tinggalan industri dan pertanian.
Syarikat HeveaGro di Gemas, Negeri Sembilan telah memanfaatkan sisa habuk kayu daripada industri pembuatan kepingan kayu lapis dan panel kayu berasaskan pokok getahnya untuk suatu yang lebih bermakna kepada alam sekitar.
Habuk-habuk kayu itu dijadikan bongkah-bongkah bagi penanaman cendawan tiram raja atau digelar sebagai raja tiram yang sebenarnya masih asing bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.
Menurut Pengarah Eksekutif HeveaGro, Liyen Yoong, pihaknya mengambil langkah berani dengan melabur RM20 juta bagi membina sebuah kilang menempatkan 200,000 bongkah cendawan.

Berbanding dengan kebanyakan pihak yang lain yang menggunakan habuk kayu untuk tanaman cendawan tiram, syarikat ini memberanikan diri dengan mengeluarkan cendawan tiram raja dan kini melakukan penanaman tiram raja berskala besar di negara ini.
“Sejak tiga tahun lalu, kami melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penanaman cendawan menggunakan bongkah kayu serta turut mendapatkan khidmat rundingan luar negara.
“Kami lihat pasaran cendawan yang popular di negara ini ialah cendawan tiram dan bukannya cendawan tiram raja. Namun, kami nekad mencuba sesuatu yang baharu dengan membina satu-satunya kilang tiram raja berskala besar di negara ini,” katanya ketika ditemui K2 di HeveaGro baru-baru ini.
Liyen berkata, dua tahun pertama merupakan tahun pembelajaran bagi menghasilkan bongkah kayu yang bersesuaian untuk penghasilan cendawan tiram raja.
Menurutnya, sebelum ini kebanyakan produk cendawan tiram raja yang berada di pasaran negara ini diimport dari Korea Selatan dan China.
“Kami pun belajar teknologi daripada mereka dan pembelajaran pertama mencetuskan cabaran buat kami.
“Di negara luar, mereka tidak menggunakan habuk kayu getah, mereka menggunakan habuk kayu pokok lain sedangkan kami menawarkan habuk kayu getah yang merupakan sisa utama pertanian daripada salah satu cabang perniagaan kami,” katanya.

Difahamkan, bongkah kayu akan mengeluarkan cendawan tiram raja menerusi pembuatan benihnya yang terhasil daripada campuran ramuan tertentu, penggunaan teknologi makmal dan kesesuaian suhu yang diperlukan.
Menurut Liyen, pihaknya melalui pelbagai R&D bagi memastikan habuk kayu getah mereka mampu menghasilkan cendawan tiram raja seperti di luar negara.
“Selain itu, faktor cuaca juga mempengaruhi pertumbuhan cendawan tiram raja berkenaan. Jika di Korea dan China, mereka ada empat musim yang mana musim sejuk dan luruh mampu menghasilkan pengeluaran cendawan tiram raja dalam jumlah besar.
“Jadi, kesemua tiram raja kami diletakkan di dalam kawasan berhawa dingin mengikut kesesuaian usia bongkah cendawan dan saiz tiram raja yang diingini,” katanya.
Tambah Liyen lagi, pada mulanya, amat sukar untuk mendapatkan saiz cendawan yang seragam susulan faktor cuaca.
“Bahkan, dalam tempoh empat bulan barulah bongkah kayu daripada berwarna coklat kehitaman bertukar menjadi putih lalu mengeluarkan hasil,” jelasnya.
Liyen berkata, jika dahulu mereka hanya mampu menghasilkan dua tan pengeluaran, kini syarikat berkenaan mampu mengeluarkan kira-kira 50 tan cendawan tiram raja atau raja tiram dalam masa sebulan secara berperingkat-peringkat.
“Pasaran bagi raja tiram kini terdapat di seluruh negara dengan kami menyasarkan pasar raya sebagai pasaran utama,” katanya.
Sejak berjaya mengeluarkan hasil yang konsisten hampir setahun lalu, Liyen menyatakan pihaknya telah membuat kerja amal dengan menyumbangkan raja tiram kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, setakat ini hampir tiga tan cendawan telah disumbangkan kepada lebih tiga buah foodbank dan 20 individu mewakili pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu golongan memerlukan.
“Selain itu, bagi menghargai barisan hadapan yang memerangi pandemik Covid-19, cendawan ini juga disumbangkan kepada pasukan berkenaan di daerah ini.
“Bahkan, kami juga mengalu-alukan sekiranya NGO di negeri lain dapat berhubung dengan kami berhubung sumbangan ini,” ujarnya.

Liyen berkata, raja tiram bukanlah sepopular cendawan tiram biasa, namun cendawan berkenaan juga mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.
“Saiznya yang besar adakalanya menyebabkan pembeli meragui keenakan cendawan berkenaan. Jangan bimbang, cendawan ini juga kaya nutrien dan ada sesetengah individu menjadikannya sebagai pengganti daging susulan tekstur isi cendawannya yang pejal,” tuturnya.
Malah menurutnya, cendawan berkenaan juga boleh dimasak dengan pelbagai cara. Ada pihak tampil kreatif dengan menjual sate cendawan dan juga rendang.
Raja tiram bersaiz ‘bayi’ dan besar dijual pada harga RM4 hingga RM4.50 bagi berat 200 gram.
Apapun usaha sebegini suatu yang patut dicontohi kerana kepentingan kelestarian alam suatu yang perlu
diuar-uarkan kepada masyarakat.
Sebelum ini, banyak sisa kayu dilupuskan dengan cara membuangnya atau membakarnya. Akhbar Borneo Today pada 11 Februari tahun lalu pernah melaporkan beberapa kilang di Keningau, Sabah yang membuang dan membakar sisa perkayuan begitu sahaja.
Membuang sisa perkayuan akan menambah beban sampah di tapak pelupusan yang rata-ratanya hampir tepu dalam masa yang singkat.
Membakar sisa perkayuan pula menyebabkan pencemaran udara serta gangguan pemandangan kerana asap.
















