BEAUFORT – Seorang nelayan dijumpai lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian di Kampung Batu Linting, Menumbok semalam.
Mangsa dikenali sebagai Lee Yong Sit @ Heron Liukun berusia 55 tahun dikatakan pergi ke laut bersama sepupunya untuk mengangkat pukat yang dipasang kira-kira pukul 3.30 petang itu.
Bagaimanapun, bot dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba terbalik dipercayai ekoran dipukul ombak sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa terhumban ke dalam air ketika dalam perjalanan pulang.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa dan sepupunya cuba berenang ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri manakala sepupunya berjaya diselamatkan orang kampung yang menyedari kejadian itu.
“Petugas paramedik yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Kuala Penyu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, Yusoff Zaki menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – K! ONLINE