PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu bukan sahaja menjejaskan sistem kesihatan, malah turut mengakibatkan 116,847 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kehilangan pekerjaan setakat Mei tahun ini.
Berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dikeluarkan Perkeso, 97,136 individu yang mencarum di bawah agensi itu kehilangan pekerjaan dalam tempoh Mac hingga Disember 2020.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, 19,711 lagi pekerja telah diberhentikan.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 132,476 permohonan tuntutan faedah kehilangan pekerjaan sejak 1 Januari 2020 hingga 1 Mei 2021.
Katanya, bagi tahun 2020 sahaja, SIP Perkeso telah merekodkan sebanyak 107,024 permohonan dengan 86,061 permohonan atau bersamaan 80.4 peratus telah diluluskan, manakala 20,561 pula ditolak.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Mei 2021 pula, SIP Perkeso telah menerima 25,452 permohonan untuk faedah kehilangan pekerjaan. Jumlah itu merangkumi 18,750 permohonan yang telah diluluskan dan 5,836 permohonan yang ditolak,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Jelas beliau, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan tuntutan SIP ditolak antaranya, pekerja telah tamat tempoh kontrak (1,335 kes), permohonan berganda (788 kes) dan pemohon berhenti kerja secara sukarela sebanyak 371 kes.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, berlaku peningkatan mendadak jumlah tuntutan SIP Perkeso pada tahun 2020 berbanding tahun sebelum.
“Kes kehilangan pekerjaan menunjukkan peningkatan bermula Mac sehingga Jun tahun lalu yang mana untuk bulan Jun sahaja, jumlah yang hilang pekerjaan adalah 18,579 orang.
“Peningkatan drastik ini dikaitkan dengan faktor pengecilan syarikat, pemberhentian pekerja dan perniagaan dihentikan akibat penularan wabak Covid-19 yang bermula Mac 2020 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Mohammed Azman bagaimanapun berkata, sebagai pencarum SIP, kesemua pekerja yang diberhentikan atau hilang pekerjaan layak mendapat pelbagai faedah termasuk bantuan kewangan.
“Sehingga 1 Mei lalu, Perkeso telah membayar hampir RM500 juta (RM499,018,509.44) untuk faedah SIP.
“Jumlah itu melibatkan bayaran RM364,636,565.26 untuk tahun 2020 dan RM134,381,944.18 dari 1 Januari hingga 1 Mei 2021,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan pekerja yang hilang kerja atau diberhentikan ketika ini supaya mengemukakan permohonan faedah SIP melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat Perkeso berhampiran.

Daftar segera MYFutureJobs untuk penempatan semula
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja disarankan supaya mendaftar di Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs bagi penempatan pekerjaan semula.
Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, mereka boleh hadir ke mana-mana pejabat untuk membuat pendaftaran atau mendaftar di www.myfuturejobs.gov.my.
Beliau berkata, setakat ini, hampir 40 peratus daripada jumlah pencari kerja yang berdaftar dengan portal itu adalah mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun terdiri daripada golongan graduan dan belia.
“Daripada jumlah itu, seramai 33,690 pencari kerja dalam kalangan graduan dan belia telah mendapat pekerjaan menerusi MYfutureJobs.
“Sehingga 16 April lalu, seramai 6,938 graduan dan lepasan sekolah telah memperoleh pekerjaan di bawah kategori insentif Perantisan dalam Penjana Kerjaya 2.0,” katanya.
Tambahnya, sehingga 4 Mei lalu, jumlah keseluruhan bilangan penempatan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs adalah seramai 70,307 orang dengan 42,151 berusia 18 hingga 30 tahun.
Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, sejak awal Januari hingga 3 Mei lalu, portal berkenaan mencatat sebanyak 671,393 jawatan kosong yang didaftarkan oleh majikan dari seluruh negara.
Tambahnya, Kementerian Sumber Manusia juga meletakkan sasaran kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam jumlah penempatan pekerjaan menerusi MYFutureJobs pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Justeru, mereka yang masih tidak mempunyai kerja atau hilang pekerjaan disaran supaya segera mendaftar di portal berkenaan kerana banyak perkhidmatan yang disediakan termasuk penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan Program Pasaran Buruh Aktif.














