fbpx

Anzalna Nasir tiada sesalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANZALNA NASIR

SIAPA yang mampu melupakan senyuman manis dan keayuan pelakon bernama Anzalna Nasir. Alunan mahkota kewanitaannya yang ikal mayang, bahkan sering memutik cemburu wanita lain.

Biarpun sudah lebih tiga tahun wajahnya tidak menghiasi kaca televisyen dengan drama baharu, kelibat ibu kepada seorang putera itu sebenarnya masih menjadi dambaan ramai.

Ralit memastikan satu-satunya permata hati, Mohamad Eidrees, terjaga sepenuh masa, membuatkan pemilik sebenar, Nur Anzalna Mohd. Nasir itu tanpa sedar sudah lama menjauh dari dunia lakonan.

Biarpun kerinduan terhadap arena yang menyerlahkan namanya di mata khalayak semakin menebal, namun belum terlintas dalam fikiran si jelitawan itu untuk meninggalkan buah hati kecilnya dalam tempoh lama.

TIGA tahun tanpa naskhah drama lakonannya yang menghiasi televisyen, Anzalna tidak pernah menyesali keputusan ‘percutiannya’ itu demi keluarga.

“Siapa tak rindukan kerjaya yang serba mencabar itu? Selain bidang komersial, lakonan menjanjikan kepuasan dari segi kerja tetapi menuntut pengorbanan masa.

“Seingat saya, agak lama juga tidak turun set drama iaitu sejak hamilkan Eidress sampailah kini dia sudah berusia hampir dua tahun.

“Ramai yang menyangka saya sudah ‘angkat kaki’ tetapi boleh saya katakan ini tempoh untuk saya dan keluarga kecil kami menikmati kehidupan.

“Masanya akan tiba nanti untuk saya kembali, siapa tahu selepas Eidrees boleh bercakap baharu saya berani masuk set semula,” katanya yang muncul dengan naskhah terakhir berjudul Dendam Aurora.

SEJAK memulakan karier usai terbabit dengan program pencarian bakat Dewi Remaja, populariti Anzalna pernah memuncak dengan beberapa drama bersiri antaranya, Memori Cinta Suraya, Suria Di Cardoba dan Dendam Aurora.

Hormat

Mengakui didatangi lamaran lakonan ketika masih dalam pantang, Anzalna, 33, tidak menyangka penerbit terbabit sanggup menunggu kesediaannya menerima tawaran berkenaan.

Jauh di sudut hati, isteri kepada ahli perniagaan, Hanif Zaki itu berasa terharu melihat kesungguhan rumah produksi berkenaan, sekali pun jawapan diberikan tidak seperti diharapkan.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang menghubungi sebelum saya bersalin lagi. Ketika itu memang saya sudah bercuti sementara menunggu tarikh ‘baby’ lahir.

“Ada juga penerbit yang saya pernah bekerjasama hubungi ketika saya dalam pantang semata-mata mahu dapatkan slot saya untuk berlakon dengan produksi mereka.

“Semuanya insan yang saya hormati. Jadi, rasa segan dan sebak pula terpaksa menolak pelawaan mereka selepas memikirkan kepentingan anak mendahului kepentingan sendiri.

“Alhamdulillah, mereka semua faham situasi saya. Sampai sekarang pun hubungan kami sangat rapat walaupun ada antara mereka masih mencuba nasib,” tambahnya lagi.

Faktor masa dan lokasi membuatkan Anzalna mengenepikan kerinduan terhadap lakonan, namun undangan untuk melatari produk komersial sudah mula diterima.

ANZALNA dan Eidrees kini muncul menghiasi kempen promosi beberapa produk barangan bayi dan kanak-kanak.

Komersial

Untungnya, kebanyakan jenama yang mengajukan tawaran lebih tertarik menggandingkan dirinya dengan Eidrees, terutama untuk barangan bayi dan kanak-kanak.

“Boleh dikatakan saya sudah kembali bekerja sejak beberapa bulan lalu tetapi hanya untuk iklan komersial, macam penggambaran untuk kempen promosi televisyen atau media sosial.

“Biasanya rakaman tidak mengambil masa panjang, tidak makan masa berhari-hari, manakala lokasi pula di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor saja.

“Menariknya kebanyakan pelawaan yang saya pertimbangkan turut membabitkan penyertaan anak kami. Pertama kali di depan kamera, Eidrees sangat selesa. Itu momen yang sangat bermakna buat kami.

“Namun sebelum menerima tawaran untuk bersama Eidrees, saya minta pendapat dan restu suami, selain menggunakan sendiri sesuatu produk sebelum menyatakan persetujuan,” kongsi Anzalna.

Ditanya mengenai pembabitan anak yang terlalu kecil dalam arena komersial, wanita berdarah kacukan Melayu, Pakistan dan Cina itu tidak menganggap usia muda sebagai masalah.

Katanya, keselesaan si kecil tetap diambil kira, terutama apabila membabitkan penggambaran yang mengambil masa agak lama atau lokasi di luar daerah.

“Setakat ini saya terima sekitar dua atau tiga produk sahaja yang membabitkan Eidrees. Semua penggambaran dan kerja rakaman berjalan lancar.

“Bekerja dengan pasukan produksi yang profesional juga memberi kelebihan sebab mereka lebih berpengalaman dan faham emosi budak terutama bayi.

“Macam saya katakan, bukan semua tawaran saya kaut. Suami juga beri pendapat suami. Sudah tentu dia tahu yang terbaik untuk kami,” katanya lagi.

TIDAK lagi aktif dengan lakonan, langkah seni Anzalna kini diteruskan oleh dua adiknya Afifah Nasir dan Mia Nasir.

Anak ‘Perancis’

Masih menebal sifat santun dan tak hilang tawa, Anzalna dan Hanif yang dianugerahkan Eidrees selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga nyata sedang bahagia.

Melihat momen berharga bersama suami dan anak tercinta yang kerap dikongsi di dada Instagram peribadi, jelas membuktikan tiada sekelumit pun sesalan biarpun ‘bercuti’ dari dunia hiburan.

Apatah lagi Eidress yang akan menginjak usia dua tahun itu semakin bijak bukan hanya mampu mengira dalam bahasa Perancis, malah sudah pandai berzikir dan mengaji.

Tidak hairan Anzalna yang dicungkil bakat daripada pertandingan Dewi Remaja sanggup bergilir dengan suami menjaga si kecil jika terpaksa keluar bekerja.

“Bukan tak percaya kepada orang gaji, cuma saya lebih selesa anak kami dengan keluarga sendiri kalau kami berdua ada urusan serentak yang tak boleh dielakkan.

“Syukur sepanjang tempoh ini sistem sokongan kami ialah keluarga. Belum masanya untuk ambil pengasuh atau pembantu rumah walaupun suami berulang kali berbincang perkara itu.

“Situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan pun antara sebab kami banyak masa di rumah. Barang keperluan pun beli secara online. Lebih selamat, mudah dan jimat masa,” katanya.

Sempat melayangkan ingatan buat semua, Anzalna berharap semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

SEJAK mula mengandung dan berpantang anaknya Eidrees, sudah hampir 10 tawaran lakonan drama terpaksa ditolak oleh Anzalna secara baik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI