fbpx
SUASANA pasar di Hong Kong yang agak suram tanpa dibanjiri orang ramai sejak pandemik Covid-19 melanda turut dapat dirasakan pada Ramadan kali ini. – AFP

K2

Pandemik ubah pemandangan Ramadan di kota Hong Kong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAMA seperti umat Islam di seluruh dunia, 300,000 penganut Islam di Hong Kong tidak ketinggalan menjalankan ibadah di bulan suci Ramadan.

Bandar pulau tersebut mempunyai empat masjid besar iaitu Masjid Kowloon, Masjid Al Ammar, Masjid Jamie dan Masjid Chai Wan selain tempat-tempat ibadah yang lebih kecil.

Rutin bagi masyarakat Islam pada bulan Ramadan termasuklah berkumpul untuk menunaikan ibadah-ibadah sunat serta berbuka puasa bersama di masjid dengan para jemaah akan membawa makanan dan barang keperluan untuk dikongsi dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Imam Hong Kong, Imam Muhammad Arshad, pemandangan Ramadan di Hong Kong telah berubah sejak pandemik melanda tahun lalu.

Masjid telah ditutup selama kira-kira separuh daripada bulan Ramadan pada tahun lalu. Disebabkan oleh langkah-langkah keselamatan dan kesihatan, jemaah dikehendaki menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa solat di masjid.

“Malah, Ramadan tahun lalu dan tahun ini berbeza sekali daripada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun kami masih mengerjakan solat tarawih, langkah-langkah penjarakan fizikal dan keselamatan dilaksanakan. Kami tidak menganjurkan perhimpunan bersama untuk berbuka puasa, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana para jemaah membawa makanan dan minuman untuk dikongsi dengan masyarakat.

“Sebelum pendemik melanda, terdapat perhimpunan setiap malam seramai kira-kira 1,500 hingga 2,000 orang di Masjid Kowloon sahaja, tapi kini kami hanya solat dengan kakitangan masjid,” katanya.

 

DIM SUM yang dibungkus dihantar kepada pelanggan Muslim untuk berbuka puasa.

 

Mengimbas situasi sewaktu pandemik baru melanda tahun lalu, Masjid Kowloon yang merupakan masjid terbesar di Hong Kong pernah diarahkan tutup serta-merta apabila seorang pengunjung dijangkiti Covid-19. Pengunjung tersebut sebelum itu mempunyai rekod perjalanan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Masjid tersebut terletak di kawasan Tsim Sha Tsui di persimpangan Jalan Nathan dan Jalan Haiphong.

Pandemik juga telah memberi kesan kepada kedai makan halal di Hong Kong serta mengubah strategi perniagaan restoran pada bulan Ramadan.

Restoran Ma misalnya ialah restoran Cina halal yang popular dalam kalangan umat Islam sama ada penduduk tempatan dan pelancong.

Daripada mi daging lembu Shanghai dan sup pedas hingga kepada stew daging anak lembu dan pelbagai pilihan dim sum, pelanggan Ma disajikan dengan pelbagai menu Cina halal.

Sebelum berlakunya pandemik, pelanggan perlu membuat pesanan makanan terlebih dahulu apabila mereka pergi ke restoran Ma untuk iftar.

“Disebabkan sekatan perjalanan dan masalah kesihatan sekarang, trafik menjadi perlahan dan kebanyakan orang berasa lebih selamat makan di rumah.

MA yang merupakan pemilik restoran halal Restoran Ma mengakui perlu menukar strategi bisnes bagi Ramadan kali ini.

 

“Kami mula memberi lebih tumpuan kepada penghantaran melalui pihak ketiga dan pengambilan sendiri kerana pelanggan kami berasa lebih selesa menikmati makanan di tempat persendirian,” kata pemilik Restoran Ma yang hanya dikenali sebagai Ma.

Peminat restoran Ma di Sham Shui Po itu, Anisha Parvin dari Malaysia baru-baru ini memesan dim sum dari restoran tersebut untuk berbuka puasa bersama suami dan dua anaknya.

Sejak berpindah ke Hong Kong 12 tahun lalu apabila dia mengahwini suaminya, seorang warganegara Hong Kong, Anisha telah beberapa kali menjalani ibadah Ramadan di situ kerana dia tidak dapat pulang ke Malaysia setiap tahun.

Anisha teringat bahawa sebelum pandemik melanda, Masjid Kowloon memberikan makanan percuma pada bulan Ramadan.

Pihak masjid menyediakan bubur panas, samosa dan jus pada waktu berbuka puasa. Masjid juga akan menjadi sangat sesak dan orang ramai pergi lebih awal untuk mengambil makanan mereka.

“Kadang-kadang, kami pergi ke Masjid Al Ammar di Wan Chai untuk berbuka puasa. Semasa Ramadan, selama 30 hari, mereka menawarkan makanan percuma kepada semua umat Islam untuk berbuka puasa,” katanya mengimbas kembali.

 

 

IMAM MUHAMMAD ARSHAD

Selain dimsum dari Restoran Ma, Anisha juga sering mengunjungi Pusat Kantin Islam di Masjid Al Ammar untuk memakan dimsum sebelum berlakunya pandemik.
Kini, Anisha dan keluarganya hanya berbuka puasa di rumah.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, penawaran makanan dan bahan halal telah meningkat dengan ketara. Sekarang, kami boleh mendapatkan banyak barangan halal dari Malaysia atau Indonesia, jadi kami boleh memasak semuanya dengan mudah di rumah,” katanya.

Anisha dan keluarganya biasanya mendapatkan ayam dan daging merah halal di pasar Tsim Sha Tsui dan ikan serta sayur-sayuran dari pasar Tseung Kwan O atau pasar Sheung Tak.

Menyentuh mengenai lebaran pula, Anisha berkata, dia bersama keluarganya di
Hong Kong sebelum ini biasanya pergi ke Masjid Kowloon untuk solat sunat Aidilfitri.

“Dahulu terdapat tiga sesi solat disebabkan orang yang ramai. Semua umat Islam di Hong Kong akan berada di sini, jadi anda boleh bayangkan orang yang ramai dan semua orang memakai pakaian baharu serta meraikannya di bawah satu bumbung,” imbasnya.

 

TIADA lagi perhimpunan beramai-ramai di masjid dilakukan pada Ramadan ini. – DICKSON LEE

Biarpun amalan tertentu telah berubah bak kata Imam Muhammad Arshad, Ramadan adalah bulan yang menuntut umat Islam untuk bersatu melangkaui agama sebaliknya bersama umat manusia secara keseluruhan.

“Cabaran yang datang dengan pandemik ini telah menyatukan kita semua untuk mempertahankan diri tanpa mengira warna kulit, kepercayaan dan negara.

“Ramadan mengajar kita disiplin, sifat bertanggungjawab dan menjaga orang lain. Jadi tidak ada masa yang lebih baik untuk mempraktikkannya melainkan pada bulan suci ini.” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN