GUA MUSANG – Polis menahan seorang pemandu treler yang memandu dalam keadaan lalok dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Tanah Putih di sini semalam.
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang berasal dari Terengganu itu ditahan pada pukul 6.30 petang selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum itu, pemeriksaan terhadap suspek yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu menjumpai dadah jenis pil kuda yang ada bersamanya.
“Berdasarkan keterangan suspek, dadah itu digunakan sepanjang perjalanan selain mendakwa ia boleh menghilangkan rasa mengantuk.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Choon Foo, suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, ujarnya, polis Gua Musang telah menahan seramai 63 individu di SJR daerah itu sejak Januari sehingga semalam.
Katanya, jumlah itu melibatkan 45 warga tempatan, warga Myanmar (15 orang), warga Indonesia (2) dan seorang warga Thailand.
Tambahnya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE














