fbpx

Zikir, jihad cara Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI BAHAR

LANTUNAN vokal lunak merdunya dalam menyanyikan sebarang lagu bergenre balada sudah cukup mempesona dan memukau ramai.

Buktinya, setiap kali muncul dengan single baharu, keasyikan melodi yang diiramakan Khai Bahar pasti mendapat sambutan hebat peminatnya.

Sokongan padu peminat terhadap kerjaya Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 27, meletakkan anak jati kelahiran Kangar, Perlis itu antara penyanyi muda yang berjaya dalam kelas tersendiri.

Selain mencuri tumpuan menerusi lagu balada, Khai juga mampu mencairkan peminat dengan lagu nasyid.

Selepas muncul dengan lagu Setanggi Syurga 2020 kolaborasi bersama kumpulan nasyid popular Inteam pada tahun lalu, terbaharu Khai memberikan buah tangan istimewa buat peminat tercinta menerusi album berjudul Zikir Damba.

KHAI BAHAR bersyukur apabila album Zikir Damba menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada peminat sejak dilancarkan pada 5 April lalu. –17 ELEVEN MUSIC

Album laris

Malah, penerbitan album Zikir Damba oleh syarikat rakaman 17 Eleven Music diibaratkan sebagai hadiah buat para peminat yang sudah lama menantikan Khai muncul dengan lagu bergenre ketuhanan dan zikir.

Menariknya, album yang dijual secara pratempahan menerusi Shopee sejak 5 April lalu itu telah habis terjual dalam masa tiga hari.

“Sebelum album ini dilancarkan secara rasmi, syarikat penerbitan buka pratempahan secara dalam talian terlebih dahulu.

“Pada hari pertama sebanyak 100 unit habis terjual begitu juga dengan hari kedua. Pada hari ketiga mereka tambah 200 unit dan semuanya habis. Syukur alhamdulillah,” ujar Khai.

Memuatkan lima buah zikir dan satu lagu penuh berjudul Perpisahan, lagu penuh syahdu itu telah mendapat sentuhan oleh Rudy Nastia, Shamin Nazri dan Adi Pawana.

Ujar Khai, dia bersyukur Zikir Damba dapat dilaksanakan pada tahun ini dengan memuatkan lima zikir seperti Hasbi Rabbi Wa Nabiy, Astaghfirullah, Hasbunallah, La Ilaha Illallah dan Ya Zal Jalali Wal Ikram.

KERINDUAN Khai Bahar terhadap kampung halaman terutama masakan air tangan ibunya hanya terpaksa dipendam dalam hati.

Cabaran

Berkongsi mengenai cabaran mengalunkan lagu zikir, Khai yang kini terbabit dalam drama Kisah Cinta Rumi berkata, dia perlu berhati-hati dalam setiap alunan sebutan.

“Apabila zikir ini hendak dirakam dan diterbitkan, cabarannya ialah saya ada masalah sebutan makhraj yang betul. Jadi saya kena belajar sebutan yang tepat. Saya perlu berhati-hati kerana jika tersalah sebut, sesuatu perkataan itu boleh membawa maksud berlainan,” kata Khai.

Ditanya mengenai trek bonus lagu Perpisahan ciptaan Dr. Azrul dalam album berkenaan, Khai menyifatkan Perpisahan sebagai sebuah lagu ketuhanan yang mengajak semua orang mengingati kematian.

“Kenapa Perpisahan? Sebab saya nak kita semua sentiasa ingat kepada kematian. Bukan untuk saya sahaja sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, tetapi untuk semua pendengar tanpa mengira usia, pangkat, darjat, kedudukan dan status.

“Sebagai manusia, pengakhiran kita tetap sama iaitu mati. Cuma, bila dan bagaimana hanya Allah sahaja yang tahu.

BIARPUN berjauhan dengan keluarga yang berada di Perlis, Khai tidak berasa sunyi kerana tinggal bersama abang dan kakak iparnya di Kuala Lumpur.

Ramadan, Syawal

Berbicara tentang Ramadan dan sambutan kedatangan bulan Syawal, Khai berkata, kerinduan kepada keluarga yang jauh di Perlis sedikit terubat memandangkan dia menetap bersama abang dan kakak iparnya di Kuala Lumpur.
“Ramadan saya tidaklah terlalu sunyi kerana saya menetap bersama abang dan kakak ipar.

“Biarpun keluarga jauh di Utara, sekurang-kurangnya saya masih ada adik-beradik di sini.

“Tetapi jujurnya, saya rindukan suasana untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.

“Rindu nak bertemu saudara-mara dan berbuka puasa bersama mereka,” ujarnya.

Adat ketika menyambut Ramadan, pasti ada makanan yang menjadi kegemaran.
Untuk Khai sendiri, dia amat menggemari masakan ayam sambal, sambal ikan bilis air tangan ibunya.

“Jika balik kampung atau berhari raya bersama keluarga, pasti ibu akan masak ayam masak sambal atau sambal ikan bilis.

“Saya pula akan cari martabak, tak kira daging atau ayam, saya akan cari setiap kali menjelang Ramadan,” ujarnya.

Sepanjang Ramadan, Khai baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kisah Cinta Rumi.

Bahkan, kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa kerana jadual kerjanya sudah ditetapkan sebelum puasa.

“Jadi saya ikut sahaja rancangan yang diatur oleh pengurus saya. Sekarang, saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Kisah Cinta Rumi untuk siaran slot Lestary, TV3 bersama pelakon, Riena Diana,” ujar penyanyi lagu Durja itu menutup bicara.

KHAI kini bergandingan bersama Riena Diana menerusi drama bersiri Kisah Cinta Rumi siaran TV3.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI