PETALING JAYA – Pemain hoki kebangsaan, Azimuddin Syakir Kamaruddin, meluahkan rasa bimbang terhadap keadaan seorang kanak-kanak yang terkena bola ketika aksi pemanas badan menjelang aksi final Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-32, Malaysia menentang Australia di Ipoh, semalam.
Azimuddin memohon bantuan orang ramai untuk mengesan mangsa bagi membolehkannya bertemu dan bertanya sendiri mengenai keadaan adik berkenaan.
Menurutnya, dia cuba mencari mangsa selepas perlawanan tamat, namun gagal berbuat demikian berikutan keadaan yang terlalu ramai orang.
“Saya minta maaf. Habis perlawanan saya nak jumpa, tetapi saya tak dapat cari sebab terlalu ramai orang.
“Boleh tolong tag orang yang terkena bola ini untuk PM saya atau hubungi adik ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial, ezaimy_mohd berkongsi video kejadian itu dan bertanyakan perkembangan terkini mangsa yang dipercayai terkena bola hoki dengan kuat sehingga berdarah.
“Ada sesiapa tahu perkembangan adik yang terkena bola hoki ketika pemain-pemain Malaysia menentang Australia sedang menjalani sesi pemanas badan malam semalam?
“Nampak agak kuat terkena sampai berdarah. Risau tengok kejadian itu, semoga adik berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Kalau ada yang tahu keadaan terkini, boleh kongsi ya. Semoga adik cepat sembuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














