KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 penduduk termasuk golongan belia di kawasan Parlimen Titiwangsa menerima lesen motosikal secara percuma menerusi Program Bantuan Lesen B2 sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu, seramai 800 peserta berjaya memperoleh lesen memandu, manakala bakinya masih dalam proses mengikuti kursus dan latihan yang disediakan menerusi empat siri program berkenaan.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bagi memudahkan penduduk mendapatkan latihan dan kursus tanpa perlu berulang-alik ke sekolah memandu.
Menurutnya, inisiatif itu tercetus selepas beliau mendapati ramai golongan muda tidak memiliki lesen B2 antaranya disebabkan kos tinggi untuk mendapatkan lesen dan tempoh menunggu yang panjang.
“Apabila saya bertanya kenapa mereka (belia) tidak mengambil lesen. Ada dua sebab (dikenal pasti), pertama ambil masa yang lama kerana perlu menunggu giliran di sekolah memandu dan kedua, kos yang perlu dibayar agak tinggi.
“Jadi, saya fikir program ini dapat membantu mereka mendapatkan lesen dengan lebih cepat dan pada harga yang lebih rendah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Lesen B2 Parlimen Titiwangsa, di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO itu berkata, setiap peserta perlu membayar RM100 sebagai deposit, manakala bakinya RM350 ditanggung pihaknya.
Bayaran RM100 kemudian akan dipulangkan selepas mereka lulus ujian memandu sebagai tanda komitmen.
Jelasnya, program itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, malah membuka peluang kepada orang muda yang masih mencari pekerjaan menjana pendapatan sampingan termasuk menerusi perkhidmatan p-hailing.
Sementara itu, seorang peserta yang juga penerima lesen B2 tertuu, Bon Yati Samiron, 69, berterima kasih kepada Johari kerana membantu memudahkan urusannya dalam mendapatkan dokumen berkenaan.
“Selama ini, saya hanya memiliki lesen L. Jadi apabila saya dapat tahu mengenai bantuan ini, saya segera menyertainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














