KUALA NERUS – Kerajaan sedang meneliti mekanisme khusus bagi menyalurkan bantuan kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas ekoran banjir, termasuk institusi pendidikan agama yang tidak berdaftar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan institusi pendidikan tersebut khususnya di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan daripada menerima bantuan kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri dan daerah turut diminta memberi perhatian kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas banjir kerana pelajar, guru serta institusi berkenaan turut memerlukan bantuan dan perlindungan.
“Walaupun bantuan wang ihsan diberikan kepada setiap keluarga di pusat pemindahan sementara (PPS), kita juga perlu memikirkan nasib pelajar dan institusi pendidikan berkenaan.
“Justeru, satu mekanisme baharu perlu dikenal pasti bagi membantu pelajar, guru dan institusi terbabit melalui pelbagai bentuk bantuan khususnya Bantuan Wang Ihsan,” katanya selepas merasmikan majlis Sama’ Hadis Riyadus Solihin bersama Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi dan Ijtimak Pondok Nusantara di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kira-kira 2,300 institusi pondok berdaftar direkodkan setakat ini, manakala jumlah institusi yang tidak berdaftar dianggarkan 2,500.
Beliau berkata status pendaftaran tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membantu institusi berkenaan yang turut menjadi mangsa banjir.
“Walaupun tidak berdaftar, kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bantuan. Kita perlu mencari jalan untuk membantu mereka,” katanya.- Bernama














