KLUANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai melanggar motosikal ditunggang dua beranak di hadapan sebuah kedai Jalan Emas 1, Taman Usaha Jaya Simpang Renggam di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pukul 9.45 malam itu dikesan menerusi satu rakaman video berdurasi 31 saat di media sosial.
Katanya, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Jelawat, Simpang Renggam untuk membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, namun ujian saringan air kencing mendapati lelak itu negatif dadah.
“Suspek kini direman bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.- KOSMO! ONLINE














