SEPANG – Lelaki yang tular memanjat rangka cermin bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, merupakan warga Nepal serta dilaporkan mengalami masalah mental.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati, suspek yang berusia 50 tahun dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Nepal pukul 6 petang tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku pukul 4.56 petang yang mana suspek merupakan lelaki berseluar pendek itu ketika berada di kawasan sekitar Gate G6 pelepasan antarabangsa telah membuat bising dan mengganggu ketenteraman orang awam.
“Suspek juga didapati telah memanjat rangka cermin bangunan satelit di tempat kejadian. Pihak kawalan keselamatan terminal yang hadir ke situ telah menenangkan suspek dan membawanya ke balai polis Terminal 1 untuk tindakan lanjut.
“Menurut saksi yang merupakan salah seorang rakannya memberitahu, suspek mengalami masalah mental semenjak beberapa bulan lepas dan enggan menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lelaki tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Kajang dan ditempatkan di wad psikiatrik untuk rawatan lanjut.
“Pihak Kedutaan Nepal juga telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ravi meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan sebarang berita tidak benar yang boleh menyebabkan berlakunya kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di terminal KLIA 1 dan terminal KLIA 2.
Kosmo! Online melaporkan, seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dengan selamba memanjat struktur besi di bahagian dinding kaca, dalam kejadian di KLIA Terminal 1.
Video kejadian itu turut dikongsikan pengguna Threads Syamdut yang memuat naik rakaman memperlihatkan lelaki tersebut memanjat struktur besi tinggi sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














