GUA MUSANG – Polis sedang mengesan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang meninggalkan lokasi selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Nissan Grand Livina di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pemeriksaan di lokasi kemalangan menemukan beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pemandu Nissan Grand Livina berusia 56 tahun mengalami kecederaan ringan selepas kenderaannya terbabas dan melanggar penghadang jalan konkrit.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Nissan Grand Livina yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala Kuala Krai mengelak sebelum bergesel dengan Toyota Estima yang sedang memotong dari arah bertentangan.
“Akibat pergeseran itu, pemandu Nissan Grand Livina hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar penghadang jalan konkrit. Pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Estima meninggalkan lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE














