NILAI – Belum reda insiden terdahulu, palang besi had ketinggian di sempadan Nilai 3-Bukit Mahkota sekali lagi dilanggar sebuah bas sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Kejadian membabitkan bas dua tingkat itu tular di Threads dengan rata-rata pengguna mempersoalkan bagaimana pemandu gagal mengesan palang berkenaan.
Malah, ada yang meluahkan kebimbangan mengenai nasib penumpang sekiranya terdapat individu di dalam bas ketika kejadian.
Seorang pengguna, @theo_jinmo mempersoalkan sama ada pemandu tidak menyedari ketinggian bas dua tingkat yang dipandunya, sedangkan palang berkenaan sepatutnya boleh dilihat dari jarak jauh.
Dakwa @catkeretamurahkajang pula, kejadian seumpama itu sudah banyak kali berlaku di lokasi sama.
Sementara itu, @kamairudinismail mencadangkan supaya pemimpin di kawasan itu serta pegawai daerah membincangkan isu berkenaan.
Insiden itu mengingatkan kepada kejadian pada 5 Julai 2025 apabila sebuah bas ekspres melanggar palang had ketinggian di Jalan Arab Malaysian menghala ke Bukit Mahkota, Bangi yang menyebabkan tujuh mangsa termasuk pemandu cedera. – KOSMO! ONLINE













