PENGUNJUNG tampil dengan gaya tersendiri dalam menghidupkan watak fantasi masing-masing.

Ren Faire satukan peminat dunia fantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN setiap hari seseorang berpeluang menghidupkan watak fantasi yang selama ini hanya dilihat menerusi filem atau permainan video, namun pengalaman itu menjadi kenyataan buat Hakim Zin apabila menyertai Ren Faire di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Johor Bahru baru-baru ini.

Lengkap berpakaian seperti pemanah pengembara watak Ranger, lelaki berusia 35 tahun itu membawakan karakter yang diinspirasikan daripada dunia fantasi seperti The Lord of the Rings dan Robin Hood.

Malah, penampilannya sepanjang dua hari acara tersebut membuatkan dia menerima pelbagai gelaran daripada pengunjung, termasuk Legolas, Robin Hood dan Odysseus.

Namun, di sebalik kostum dan karakter yang dibawanya, pengalaman paling bermakna buat Hakim bukan sekadar berpeluang menjadi watak fantasi kegemarannya, sebaliknya dapat bertemu individu daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi minat sama dalam suasana penuh keterbukaan tanpa prejudis.

Ren Faire atau ‘Renaissance Fair’ sebenarnya acara popular yang sudah dipraktikkan di negara-negara lain.

“Sudah kira-kira dua tahun saya mengikuti perkembangan Ren Faire di luar negara dan negara jiran. Saya memang meminati kostum berkonsepkan medieval, fantasi serta aktiviti memanah tradisional.

“Apabila terlihat video Meja Plastik dan Das.Coffee di TikTok yang mahu menganjurkan Ren Faire di Johor Bahru, saya terus tertarik.

“Saya macam tidak percaya acara sebegini turut diadakan di Johor Bahru,” katanya kepada CitaRasa.

Amin (tengah) bersama pengunjung yang menjayakan pelbagai kostum bertemakan fantasi dan zaman pertengahan di Ren Faire, Johor Bahru baru-baru ini.

Sebagai makluman, Ren Faire yang mengangkat tema Once Upon A Time itu dianjurkan oleh Meja Plastik dengan kerjasama Das Coffee dan Midokori Matcha bertujuan menghidupkan suasana Zaman Renaissance serta era pra-Melaka. Program itu berjaya menarik kehadiran 2,000 orang.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang acara, antaranya Live Action Role-Playing (LARP), bengkel, permainan catur dan kad, aktiviti jurnal serta persembahan muzik.

Pengunjung turut digalakkan mengenakan kostum mengikut tema bagi memeriahkan acara yang digerakkan oleh komuniti anak muda bersama sukarelawan itu.

Mengulas lanjut, minat terhadap dunia fantasi itu turut mempengaruhi pemilihan karakter yang dibawa Hakim sepanjang acara berkenaan.

Hakim memilih untuk menggayakan watak Ranger iaitu pengembara yang diinspirasikan daripada pemanah elf dalam francais filem The Lord of the Rings selain permainan video bergenre fantasi seperti Black Desert.

“Saya memang meminati kostum kesatria yang lengkap dengan pedang dan perisai. Selain itu, saya juga tertarik dengan gaya pemanah seperti Robin Hood, ahli sihir seperti Gandalf serta karakter daripada Dungeons and Dragons.

“Bagi saya, setiap kostum mempunyai keunikan dan keanggunan tersendiri. Sebab itu saya suka melihat bagaimana setiap orang membawa karakter masing-masing,” katanya.

Menariknya, Hakim hanya mempunyai masa kira-kira dua minggu untuk menyiapkan kostumnya selepas mengetahui penganjuran Ren Faire itu.

Penolong jurutera pengeluaran itu mengambil pendekatan memadankan pakaian sedia ada dengan beberapa aksesori yang dibeli menerusi platform dalam talian.

Bagi melengkapkan penampilan sebagai Ranger, bapa kepada seorang anak perempuan itu membelanjakan kira-kira RM130 untuk pakaian dan aksesori, termasuk baju berharga lebih RM30, jubah atau cloak berharga RM70 serta aksesori lengan bercirikan medieval bernilai RM30.

Hakim mengenakan kostum Ranger diinspirasikan daripada watak pemanah elf Lord of The Rings.

Sementara itu, set busur dan anak panah yang dibelinya pada harga RM200 sejak tahun lalu turut digunakan, selain quiver atau bekas anak panah yang dibeli dengan harga RM60.

“Tidak semestinya perlu mengeluarkan banyak wang untuk menyertai Ren Faire. Kita boleh jadi kreatif dengan menggunakan pakaian yang sedia ada seperti kain batik, kain pelikat atau pakaian tradisional tempatan untuk menghasilkan penampilan yang unik.

“Sementara menunggu Ren Faire tahun depan, saya akan kumpul aksesori sedikit demi sedikit untuk melengkapkan lagi gaya Ranger atau Robin Hood. Anggaplah macam level up karakter, jadi nantikan penampilan yang lebih bergaya pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Aminuddin Mohsin menjelaskan, idea asal penganjuran Ren Faire bermula daripada hasrat sekumpulan penganjur untuk mengadakan acara kecil-kecilan berteraskan dunia fantasi.

Catur merupakan antara permainan yang disediakan untuk disertai para pengunjung Ren Faire.

Cadangan tersebut kemudian berkembang apabila mereka menyedari peluang menggunakan kawasan taman awam yang luas di TMIYC menerusi kerjasama dengan Das Coffee dan Midokori Matcha yang beroperasi di lokasi berkenaan.

Menurutnya, konsep Renaissance Faire dipilih kerana acara seumpama itu masih jarang dianjurkan di rantau ini.

“Walaupun mendapat inspirasi daripada Ren Faire di Barat, kami turut menggabungkan elemen zaman pertengahan serantau dan budaya dari pelbagai negara bagi meraikan kepelbagaian serta identiti tempatan.

“Bagi menghidupkan suasana tersebut, kami menyediakan pelbagai prop yang menggambarkan kehidupan sekitar abad ke-15 untuk menghiasi kawasan taman,” katanya.

Usaha itu turut dibantu sukarelawan yang bukan sahaja berganding bahu menghasilkan prop, malah memainkan peranan sebagai Non-Player Character (NPC) atau watak sampingan bagi menjadikan pengalaman pengunjung lebih menarik.

Antara tarikan utama ialah aktiviti quest berantai yang membolehkan pengunjung menyelesaikan beberapa misi sepanjang festival.

Penyertaan juga boleh dibuat menerusi pembelian buku nota quest log yang dihasilkan individu kelainan upaya (OKU) dari Johor Area Rehabilitation Organization (JARO), dengan hasil jualan disalurkan kembali kepada pertubuhan kebajikan itu.

Pengunjung yang berjaya menyelesaikan keseluruhan misi pula menerima cenderahati daripada pihak penganjur. Selain itu, penganjur turut menghubungi pelbagai komuniti dan pihak yang mempunyai kaitan dengan dunia fantasi, sejarah, cosplay serta seni kraf bagi membuka ruang penyertaan lebih luas.

Antaranya termasuk Rangers Guild dan Ikigai Bath Co. yang hadir sebagai sebahagian daripada pengisian acara.

Aminuddin berkata, cabaran terbesar menganjurkan festival seumpama itu di Malaysia adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat dan pihak berkuasa mengenai konsep Ren Faire serta manfaatnya terhadap budaya, ilmu, penghayatan sejarah dan ekonomi tempatan.

“Melalui acara ini, kami mahu menunjukkan bahawa Ren Faire bukan sekadar festival berkostum, tetapi turut membuka ruang kepada artisan tempatan, khususnya pengusaha kraf tradisional untuk memperkenalkan hasil kerja mereka.

“Persiapan kostum dan pembinaan prop secara buatan tangan memang mencabar, tetapi bantuan sukarelawan banyak memudahkan usaha kami.

“Sambutan menggalakkan terhadap edisi sulung itu turut mendorong penganjur merancang untuk mengadakan dua edisi Ren Faire di TMIYC pada tahun hadapan, masing-masing pada pertengahan dan penghujung tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN