
BAYANGKAN seorang ibu di pedalaman terpaksa meminjam telefon anaknya untuk memohon bantuan kerajaan. Seorang warga emas pula kebingungan apabila diminta mengimbas kod QR, sedangkan urusannya dahulu boleh diselesaikan di kaunter.
Bagi mereka, kemajuan teknologi bukan persoalan kecanggihan, tetapi sama ada kehidupan menjadi lebih mudah. Ketika Malaysia mempercepat transformasi digital, persoalan penting perlu dijawab: Adakah semua rakyat benar-benar menikmati kemajuannya?
Pada 23 April lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan akses internet isi rumah mencapai 97.1 peratus pada 2025, meningkat daripada 96.8 peratus pada 2024.
Namun, akses internet isi rumah bandar mencatatkan 99.0 peratus berbanding 90.7 peratus di luar bandar. Jurang 8.3 mata peratusan ini memperlihatkan cabaran keterhubungan yang masih memerlukan perhatian.
Pada 15 Julai lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 telah menyediakan capaian gentian optik kepada 10.02 juta premis.
Liputan internet kawasan berpenduduk mencapai 99.73 peratus, manakala kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih mencatatkan 154.37 megabit sesaat.
Daripada 1,661 projek Jendela Fasa 1, hanya 10 projek masih dilaksanakan ketika laporan tersebut dibentangkan. Jendela Fasa 2 pula dirancang menggunakan teknologi 4G, 5G dan satelit mengikut kesesuaian lokasi.
Liputan internet
Pencapaian ini membanggakan, namun liputan internet tidak semestinya bermakna setiap keluarga mampu memiliki peranti sesuai atau memahami prosedur digital kerajaan.
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), dengan 1,099 pusat di seluruh negara, menyediakan akses digital dan program pembangunan komuniti.
Pada 16 Februari, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaporkan Perkhidmatan Pintar Nadi merekodkan 1.4 juta penyertaan sehingga Disember 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 7 September turut mengumumkan usaha memperkukuh kerjasama Nadi dengan 191 Pusat Komuniti Desa bagi memperluas manfaat kemudahan digital.
Apabila teknologi bertemu kehidupan sebenar Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026-2030 menggariskan pendekatan keseluruhan kerajaan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan penyelarasan perkhidmatan digital.
Namun, bagi seorang pesara yang tinggal bersendirian, kejayaan pendigitalan mungkin bermula dengan perkara kecil: memahami cara mendaftar, mengingati kata laluan atau mendapatkan bantuan apabila permohonan gagal.
Pada 30 September, program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 di Teluk Intan memberikan perhatian kepada warga emas, usahawan mikro dan peniaga kecil melalui latihan literasi digital serta keselamatan dalam talian.
Program sama di Sentul pada 14 November pula mengetengahkan AI, kesejahteraan siber dan pencegahan penipuan, termasuk perkongsian oleh Bank Negara Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar menegaskan bahawa pendigitalan negara hanya bermakna apabila manfaatnya benar-benar dirasai masyarakat akar umbi.
Pada Julai, MCMC turut memperkenalkan inisiatif 1Prompt Engineer, 1NADI untuk membangunkan pembimbing AI dalam komuniti, sekali gus membuka peluang pembelajaran teknologi tanpa memerlukan kursus mahal.
Di Eropah, Estonia menggunakan sistem X-tee berasaskan teknologi X-Road bagi membolehkan agensi kerajaan berkongsi data secara selamat. Prinsip once-only mengurangkan keperluan rakyat menyerahkan maklumat sama berulang kali.
Di Asia Selatan, India mengembangkan rangkaian Common Services Centres (CSC). Pada Mei 2026, sebanyak 501,731 pusat beroperasi, termasuk 391,160 di kawasan luar bandar, menawarkan lebih 800 perkhidmatan melalui bantuan petugas komuniti.
Di Amerika Selatan, Colombia melaksanakan program Centros Digitales yang menyediakan 14,057 titik akses internet percuma di sekolah luar bandar dan komuniti sekitarnya. Sasaran pemasangan tersebut telah dicapai pada April 2026.
Colombia turut mencapai satu lagi pencapaian pada Jun 2026 apabila program Mi Colombia Digital menyerahkan portal perkhidmatan digital institusi awam yang ke-10,000.
Perkongsian data
Ketiga-tiga pendekatan memperlihatkan bahawa keterangkuman digital memerlukan gabungan perkongsian data, bantuan manusia dan kemudahan internet yang boleh dicapai masyarakat.
Malaysia boleh memperkukuh pendekatan serupa dengan menjadikan NADI, perpustakaan awam dan pejabat daerah sebagai pusat bimbingan urusan kerajaan, bukan sekadar tempat mendapatkan internet.
Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan MCMC turut merekodkan 554 program melibatkan 426,381 peserta sehingga 1 Mac 2026, termasuk usaha meningkatkan kesedaran warga emas mengenai penipuan digital.
Pada September, cadangan kerjasama Nadi dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia turut diketengahkan bagi memperluas latihan digital dan AI kepada komuniti kurang upaya pendengaran.
Langkah ini penting kerana teknologi yang tidak mesra pengguna boleh menyebabkan mereka yang paling memerlukan bantuan menjadi semakin sukar mendapatkan perkhidmatan.
Ukuran kejayaan Kerajaan Digital sewajarnya merangkumi bilangan permohonan berjaya, masa penyelesaian, tahap keselamatan dan keberkesanan bantuan kepada pengguna yang kurang mahir.
Saluran fizikal juga wajar dikekalkan untuk urusan penting, khususnya bagi warga emas, orang kurang upaya dan masyarakat yang menghadapi kekangan teknologi.
Hala tuju baharu Kerajaan Digital Malaysia bukan sekadar membina sistem lebih pintar, tetapi memastikan teknologi membawa harapan, kemudahan dan peluang kepada semua.
Kerana di sebalik setiap permohonan dalam talian, ada kehidupan yang menunggu keputusan. Kemajuan sebenar tercapai apabila tiada rakyat terpaksa memilih antara mengikuti teknologi atau kehilangan hak mendapatkan perkhidmatan.
PROF. MADYA DR. ABD. RAHIM ROMLE merupakan Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie Universiti Utara Malaysia














