PETALING JAYA – Di sebalik perwatakan lembut seorang pendidik agama, tersimpan keberanian luar biasa buat Nurul Amirah Al Hidayah Othman, 23, yang turun mengemudi jentera pacuan empat roda (4×4) pada kejohanan GG4x4 Medium Core 2026 di Bukit Payung, Marang, Terengganu di sini, baru-baru ini.
Hadir jauh dari Kuantan, Pahang, penyertaannya mencuri tumpuan lensa dan pengunjung apabila menjadi antara segelintir peserta wanita yang berani menguji ketahanan di laluan mencabar.
Bagi Nurul Amirah, status sebagai ustazah bukanlah batas pemisah untuk menceburi sukan permotoran ekstrem yang selama ini sinonim dengan penglibatan golongan lelaki daripada pelbagai latar belakang.
Bergandingan bersama abang kandung di kerusi pembantu jurupandu, ketenangannya mengawal stereng di litar berlumpur jelas mencerminkan minat yang sudah sebati sejak kecil.
“Sejak zaman kanak-kanak saya sering mengikuti keluarga masuk ke kawasan pedalaman dan menyaksikan sendiri perlumbaan yang mereka sertai. Jadi apabila ada peluang beraksi di Bukit Payung ini, saya tidak mahu melepaskannya demi mengumpul lebih banyak pengalaman di litar sebenar,” katanya ketika ditemui di lokasi acara.
Menurutnya, penganjuran kategori Medium Core sangat membantu pelumba baharu sepertinya kerana ia menyediakan medan persaingan yang adil serta peluang sama rata buat semua peserta.
Mengulas cabaran trek di bumi Terengganu, anak muda itu mengakui keadaan permukaan yang berlumpur tebal memberikan ujian berganda selain kelainan ketara berbanding kejohanan di negeri lain.
Saingan selama dua hari yang bermula Jumaat lalu itu mempertaruhkan dua kategori utama dan berjaya menghimpunkan seramai 54 pelumba dari Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta tuan rumah, Terengganu. – KOSMO! ONLINE














