PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo, Kampung Jugan, Bau, Kuching Sarawak, pagi tadi.
Mangsa, Eblone Jyubalta Kenedy, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.51 pagi.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa terperangkap di dalam kereta tersebut.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














