MARANG – Keadaan laluan yang lebih mencabar ketika musim tengkujuh bakal menguji keupayaan 54 pelumba jentera pacuan empat roda (4×4) pada kejohanan GG4x4 Medium Core 2026 yang bermula hari ini.
Berlangsung selama dua hari di Bukit Payung, kejohanan itu mempertandingkan dua kategori iaitu Medium Core dan Hantu Hardcore, dengan penyertaan turut membabitkan pelumba dari beberapa negeri.
Pengarah pertandingan, Tengku Khairul A. Rahman berkata, penganjuran itu pada asalnya bertujuan memberi peluang kepada pemilik jentera 4×4 persendirian, khususnya penduduk kampung sekitar, merasai sendiri pengalaman menyertai perlumbaan sebenar.
Katanya, jumlah penyertaan yang diterima melebihi jangkaan penganjur, termasuk kehadiran pelumba dari luar Terengganu.
“Kami tidak menyangka menerima jumlah penyertaan yang begitu menggalakkan, malah ada dalam kalangan pelumba yang sanggup datang dari beberapa negeri untuk menyertai pertandingan ini.
“Permintaan daripada pelumba profesional yang mahukan cabaran lebih kompetitif ketika musim hujan turut mendorong kami memperkenalkan kategori Hantu Hardcore,” katanya.
Tengku Khairul yang juga pelumba profesional dan pernah beraksi di peringkat antarabangsa berkata, sambutan diterima cukup membanggakan meskipun kejohanan itu tidak menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan.
Sepanjang dua hari pertandingan, setiap pelumba perlu mengharungi lima peringkat khas atau special stage (SS), dengan keadaan permukaan laluan dan keupayaan mengendalikan jentera menjadi antara cabaran utama.
Kejohanan anjuran Kelab GG4x4 yang berpangkalan di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung itu turut mendapat kerjasama penduduk setempat, sekali gus membuka peluang untuk sukan 4×4 diketengahkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar. – KOSMO! ONLINE














