BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya kemelut di Negeri Sembilan telah berakhir selepas enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu dilantik hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, UMNO dan BN menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas perkenan baginda mengekalkan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar serta lantikan enam EXCO tersebut.
“Kita harapkan dengan pelantikan EXCO ini, ia akan dapat melunaskan semula segala pertanggungjawaban kerajaan Negeri Sembilan, bukan saja untuk mengadakan sidang khas belanjawan di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta kumpulan sasaran di peringkat daerah, mukim dan kampung.
“Paling penting ialah rasa keyakinan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan atas perkenan Tuanku ini. Saya yakin kemelut ini telah berakhir dan kita harap tidak akan timbul sebarang permasalahan baharu selepas ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas program Himpunan Huffaz 26K 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai pendirian BN pusat terhadap penyelesaian kemelut politik di negeri itu, Ahmad Zahid memaklumkan lima kepimpinan utama sudah menghadap Tuanku Muhriz semalam dalam suasana perbincangan yang tenang.
“Apa yang sudah diputuskan oleh Tuanku itu ialah satu keputusan yang terbaik dan rakyat keseluruhannya harus mendukung apa yang sudah diperkenan dan dititahkan oleh Tuanku,” katanya.
Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan enam EXCO Negeri Sembilan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.














