MINGGU depan, tinggal lagi seminggu sesi persekolahan tahun ini. Mulai 4 Disember (Kumpulan A – Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 5 Disember ini (Kumpulan B – negeri-negeri lain termasuk Selangor), lebih 5 juta murid dan pelajar sekolah akan bercuti selama sebulan.
Dalam tempoh seminggu itu, sebahagian pelajar sudah mula tidak hadir ke sekolah termasuk mereka yang ‘dicutikan’ bagi memberi laluan kepada pelajar tingkatan lima menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2026.
Bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan van sekolah, timbul persoalan sama ada ibu bapa wajar membayar penuh tambang pada bulan depan kalau sekolah pun hanya seminggu.
Persoalan ini nampak kecil, namun ia mewujudkan dua pendapat berbeza dalam kalangan ibu bapa.
Menariknya di media sosial, ramai ibu bapa yang mahu membayar penuh tambang van sekolah seperti biasa. Bagi mereka, sepanjang 11 bulan, pemandu van telah memudahkan urusan menghantar dan membawa pulang anak mereka dengan selamat.
Malah, dalam situasi kecemasan, ada pemandu van yang sanggup menghulurkan bantuan kepada murid dan ibu bapa.
Kata mereka, jangan hanya kerana sesi persekolahan bulan depan berbaki seminggu, kita enggan membayar tambang penuh atau meminta pengurangan kadar.
Menurut ibu bapa, pemandu van juga perlu dibantu untuk kelangsungan hidup kerana itulah sumber pendapatan mereka, berbeza dengan orang makan gaji setiap bulan.
Pemandu van juga perlu menyediakan perbelanjaan persekolahan anak-anak selain menanggung pelbagai kos terutama penyelenggaraan kenderaan.
Anggaplah bayaran itu sebagai bonus kecil buat pemandu van atas komitmen dan khidmat mereka sepanjang tahun.
Bagaimanapun, ada segelintir ibu bapa yang berdepan tekanan kos sara hidup berharap pengusaha van sekolah dapat mempertimbangkan permintaan untuk mengecualikan atau mengurangkan kadar tambang bagi bulan berkenaan.
Bagi mereka, kos tambang van sekolah bagi seorang anak mungkin masih mampu ditanggung, namun bagi keluarga yang mempunyai tiga anak misalnya, jumlah bayaran bulanan boleh mencecah RM500.
Jika diberikan pengecualian atau pengurangan, ia boleh digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan anak bagi sesi baharu tahun depan.
Justeru, soal tambang van sekolah ini bukan sekadar tentang bayaran sebulan, tetapi soal timbang rasa dan saling menghargai antara ibu bapa dengan pengusaha van.
Mungkin tambang penuh bukanlah sesuatu yang membebankan bagi sebahagian keluarga, namun bagi keluarga lain, pengurangan sedikit pun mampu memberi ruang untuk mereka bernafas.
Janganlah kita menghina ibu bapa yang membayar kurang tambang van sekolah kerana kita tidak tahu keadaan kewangan atau bebanan yang terpaksa mereka tanggung.
Akhirnya, biarlah keputusan yang dibuat bukan semata-mata berlandaskan kira-kira untung rugi, sebaliknya atas dasar saling memahami, menghargai dan mencari jalan tengah yang tidak merugikan mana-mana pihak. -KOSMO! ONLINE














