PETALING JAYA – Perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan pada pagi ini berikutan gangguan bekalan kuasa di Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.
Rapid KL menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, perkhidmatan tren alternatif diaktifkan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Tren dari Stesen Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Subang Jaya, manakala tren dari Stesen Gombak akan berpatah balik di Stesen Lembah Subang.
“Selain itu, tren perantara (Tren 72) di antara Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang di Platform 2.
“Perkhidmatan bas sokongan juga disediakan antara Stesen Subang Jaya hingga ke Lembah Subang,” menurut pemakluman berkenaan.
Rapid KL turut memaklumkan, tren akan bergerak perlahan dan berhenti lama di platform.
“Pelanggan juga dinasihati untuk menggunakan perkhidmatan tren Laluan Ampang/Sri Petaling di Stesen Putra Heights dan tren Laluan Shah Alam di Stesen Glenmarie untuk ke pusat bandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














