Gambar hiasan

Akta 173, 174 turut dipinda, perluas kebebasan bersuara pelajar UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan peruntukan dalam Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174) turut dipinda bagi memperluas ruang kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memansuhkan peruntukan tertentu dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta memperkenalkan kerangka perundangan baharu bagi sektor pendidikan tinggi.

Beliau berkata, walaupun pindaan menyeluruh terhadap akta berkaitan universiti memerlukan masa, usaha memperluas hak dan kebebasan mahasiswa perlu disegerakan, termasuk melibatkan mahasiswa UiTM yang tertakluk kepada Akta 173 dan Akta 174.

“Jadi saya telah memberitahu supaya arahan saya itu terpakai secara keseluruhan. Maknanya tindakan harus diambil walaupun ada rancangan untuk meminda Akta MARA, tetapi mungkin mengambil masa lebih lama.

“…yang disegerakan seperti dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi ialah untuk membatalkan peruntukan AUKU,” katanya pada program ‘Dialog Negara’, yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Anwar berkata, beberapa peruntukan dalam kedua-dua akta berkenaan didapati mengenakan sekatan lebih ketat terhadap mahasiswa dan perlu diteliti semula agar selaras dengan semangat kebebasan bersuara serta kematangan golongan berkenaan.

Perdana Menteri menegaskan mahasiswa, termasuk dalam kalangan Bumiputera, perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan dan mengembangkan pemikiran tanpa dikongkong oleh pendekatan lama yang menyekat kebebasan mereka.

“Anak-anak Bumiputera kita patut diberikan ruang dan kebebasan. Biar mereka bersuara, biar mereka memberikan pandangan. Mengapa perlu dikongkong pemikiran mereka?” katanya.

Beliau berkata pendekatan lama yang menggunakan alasan menjaga disiplin tidak seharusnya dijadikan asas untuk menyekat kebebasan mahasiswa, sebaliknya mereka perlu diberikan kepercayaan dan dilatih untuk berfikir secara matang.

“Saya tidak mahu menggunakan akta itu untuk menjaga saudara (mahasiswa). Jadi kita berikan ruang kebebasan. Kalau kita tidak melatih anak-anak dan memberikan keyakinan serta kepercayaan kepada mereka, bagaimana masa depan kita?” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata mahasiswa bukan lagi golongan kanak-kanak atau pelajar sekolah, justeru mereka wajar diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam perbincangan berkaitan isu semasa serta politik.

Beliau berkata bagaimanapun, kebebasan bersuara mahasiswa tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan jenayah kerana perkara itu tertakluk kepada undang-undang lain. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN