Warga kerja kesihatan yang terlibat dalam pemindahan organ bergambar di bilik bedah.

Lima hari, 16 pemindahan organ di empat hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 pemindahan organ berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima hari di seluruh negara susulan empat pendermaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, pencapaian bersejarah itu melibatkan pendermaan organ di Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Dzulkefly berkata, pengorbanan penderma dan keluarga terlibat telah memberi peluang kehidupan kedua kepada pesakit memerlukan melalui lapan pemindahan buah pinggang masing-masing empat di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur, tiga pemindahan hati, satu pemindahan jantung serta empat pemindahan kornea.

“Setinggi-tinggi penghormatan serta ucapan takziah saya titipkan buat para penderma dan keluarga. Keberanian kalian membuat keputusan paling mulia di saat berduka telah memberi peluang kehidupan kedua buat insan-insan lain yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Dzulkefly menyeru pengikrar penderma organ agar memaklumkan hasrat murni mereka kepada ahli keluarga kerana kefahaman dan persetujuan waris adalah kunci utama bagi menyempurnakan amanah itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja kesihatan di Pusat Transplan Nasional dan pasukan pemindahan organ di semua hospital terlibat termasuk pakar bedah, pasukan anestesiologi, penyelaras transplan, jururawat, ahli farmasi serta pasukan sokongan atas dedikasi mereka.

Kementerian Kesihatan, katanya, kekal komited untuk memperkukuh dan memperluas perkhidmatan pemindahan organ di seluruh negara menerusi penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan yang mengadakan mesyuarat pertama pada 2 November lepas. — BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN