Keadaan Tiara selepas menjalani pembedahan di HTA, Kuala Lumpur pada Jun lalu. – IHSAN KELUARGA

‘Bantulah kami, Tiara perlukan RM54,000’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Hasrat sepasang suami isteri untuk membawa pulang anak perempuan mereka yang menghidap kanser otak selepas hampir lima bulan dirawat di hospital terbantut apabila mereka tidak mampu menyediakan mesin bantuan pernafasan dan peralatan perubatan yang diperlukan.

Lebih meruntun hati, simpanan keluarga itu kini sudah habis digunakan bagi menampung keperluan Tiara Camelia Muhammad Ralfie, 5, sepanjang menjalani rawatan sejak Jun lalu.

Ibunya, Mardiana Abdul Husin, 26, berkata, mereka kini berusaha mengumpul dana sebanyak RM60,000 bagi membeli mesin bantuan pernafasan jenis BiPAP dan mesin penyedut kahak berkuasa bateri seperti disarankan doktor.

Bagaimanapun, setakat ini mereka hanya berjaya mengum­pulkan RM6,000 dan masih memerlukan baki sebanyak RM54,000.

“Semua simpanan sudah habis. Saya tidak bekerja, manakala suami hanya bekerja sambilan di kilang kerana kami perlu bergilir-gilir menjaga Tiara di wad. Suami dibayar RM90 sehari dan hanya dapat bekerja tiga hingga empat hari seminggu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Mardiana, doktor memaklumkan Tiara perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan BiPAP jika dibenarkan pulang ke rumah, selain mesin penyedut kahak yang boleh beroperasi menggunakan bateri bagi memastikan keperluan penjagaan pernafasannya terus terjamin.

Terdahulu, Tiara menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian belakang otak di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Bagaimanapun, ketumbuhan itu tidak dapat dibuang sepenuhnya kerana sebahagiannya melekat pada pangkal otak dan berisiko tinggi jika pembedahan diteruskan.

Mardiana berkata, anaknya mengalami komplikasi selepas pembedahan termasuk kecede­raan pada cerebellum yang menjejaskan pergerakan dan keseimbangan, selain masalah saraf muka serta pergerakan mata

Tiara juga pernah hampir empat bulan dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan kini masih menjalani rawatan susulan serta kemoterapi.

“Dia kini terlantar di atas katil, menggunakan saluran trakeostomi untuk bantuan pernafasan dan masih bergantung kepada tiub Ryles kerana mengalami kesukaran menelan makanan.

“Doktor turut mencadangkan pemasangan tiub Gastro-T pada bahagian perut bagi membantu pemberian pemakanan kepada­nya,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu keluarga Tiara boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank 7657372212 atas nama Mardiana Abdul Husin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN