PADA hujung minggu lalu, para peminat bola sepak menanti dengan penuh minat perlawanan membabitkan dua seteru utama Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dan Manchester United (MU).
Perlawanan yang berlangsung di stadium Anfield itu sangat dinanti-nanti oleh para penyokang MU memandangkan pasukan tersebut telah melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu.
Pengendali berusia 54 tahun itu hadir ke Old Trafford bagi menggantikan pengurus sebelum ini, Michael Carrick yang dipecat oleh pihak pengurusan ekoran prestasi hambar pasukan Red Devils pada awal musim.
Rata-rata peminat MU menjangkakan, kehadiran pengurus berasal dari Argentina itu mampu memberi perubahan besar pada corak permainan pasukan, terutamanya ketika menentang musuh tradisi, The Reds.
Malangnya, Pochettino bukanlah seorang ahli silap mata yang mampu mengubah nasib MU dalam sekelip mata atau dengan beberapa kali sesi latihan di Carrington.
Buktinya, pasukan MU telah dibelasah 4-0 oleh Liverpool, sekali gus meneruskan rentak tanpa kemenangan pasukan itu dalam EPL sejak Ogos lalu.
Kekalahan terbaharu itu telah menyebabkan MU terperosok ke tangga 19 di liga daripada 20 pasukan, dan berada dalam zon penyingkiran.
Pastinya, kekalahan itu memberi tekanan kepada Pochettino yang dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan untuk mengembalikan zaman kegemilangan MU ketika era Sir Alex Ferguson.
Sebagai peminat Liverpool, penulis ketika ini berada dalam ‘mood’ gembira. Namun pada masa sama, penulis berasa ‘kasihan’ dengan nasib para peminat MU.
Ketika ini, penulis merasakan ada tiga perkara utama yang perlu dilakukan segera oleh Pochettino bagi memberi sedikit sinar kepada pasukan dan peminat MU.
Pertama, pasukan perlu segera mencatatkan kemenangan dalam EPL bagi memulihkan kembali semangat para pemain di bilik persalinan. Kemenangan juga secara tidak langsung dapat membantu MU keluar daripada zon penyingkiran, yang ketika ini hanya mengumpul lapan mata daripada 10 perlawanan.
Kedua, MU perlu memperbaiki masalah benteng pertahanan yang dilihat rapuh. MU gagal mencatatkan sebarang rekod tanpa bolos dalam saingan EPL dan dibolosi sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap lima perlawanan dalam semua kejohanan.
Justeru itu, tugas berat menanti Pochettino untuk memastikan pemain seperti Harry Maguire dan Diogo Dalot mampu memberikan aksi terbaik mereka dalam setiap perlawanan.
Akhir sekali, Pochettino perlu segera meningkatkan tahap kecergasan, daya larian serta ketajaman pemain agar skuad mampu mengekalkan gaya permainan bertekanan tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.
Tambahan pula, Pochettino sememangnya terkenal dengan tuntutan kecergasan yang sangat ekstrem, dan barisan pemain MU pastinya telah menerima kejutan serta teguran keras. Akhir kalam, penulis berharap, dengan kemasukan pengurus baharu, MU dapat keluar dari zon penyingkiran, dan kembali menjadi pasukan disegani.














