KUALA LUMPUR – Menjawab persoalan yang bersarang di fikiran sebilangan peminat, pelakon kacukan Melayu-Switzerland Deanna Yusoff masih mengamalkan gaya hidup Islam selain percaya, hubungan dengan Tuhan tidak perlu digembar-gemburkan kepada umum.
Deanna, 59, berkata, sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan sekitar 1990-an, dia lebih selesa tidak mencanang hal peribadi kerana baginya, perihal spiritual adalah lebih baik tidak dijadikan paparan khalayak.
“Sangat peribadi untuk bercakap tentang hubungan dengan Tuhan. Tapi, saya masih berpegang kepada ajaran Islam. Kenapa perlu saya tukar?
“Ia (Islam) telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Takkan saya nak tukar (kepercayaan) hanya kerana saya tinggal di tempat lain (bukan di Malaysia)?
“Bagaimanapun, kisah saya mungkin sedikit berbeza. Ibu saya asal Switzerland dan saya dibesarkan di sana. Ada campur-campur sedikit tapi bukan agama yang bercampur tetapi budaya,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media pelancaran kerjasama The BoboKl dan Oh! Jazz Partnership di BoboKl, di sini, semalam.
Jelas Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-10 itu lagi, seseorang Muslimah tidak sewajarnya dihakimi pegangan akidahnya hanya berdasarkan imej luaran.
“Saya faham orang kadang-kadang salah anggap sebab tengok saya ini lain sikit tapi saya tak kisah. Memang lain sikit, sebab saya ini ‘celup’.
“Kawan-kawan saya di mana-mana pun termasuk yang di KL, kami respek antara satu sama lain. Apa anda lihat di luar tidak merubah siapa saya. Masih lagi (Muslim), sudah tentu,” ujarnya lagi.
Ditanya tentang sama ada dia kini sudah mempunyai pasangan hidup, pelakon filem epik, Anna and The King itu menjawab: I’m attached (saya sudah berpunya).
“Bagaimanapun, biarlah sampai situ saja saya kongsi. Saya tak suka terlalu terbuka hal peribadi. Bukan cara saya mencanang tentang kehidupan peribadi di media sosial.
“Kalau ada selebriti yang suka berbuat demikian, itu hal mereka dan tidak menjadi masalah, namun untuk saya, memang saya jenis yang sedikit malu dan agak ‘private’,” katanya.
Deanna kini menetap di Singapura dan masih aktif dunia seni namun selektif menerima tawaran lakonan atas faktor usia dan fokus perniagaan produk kecantikan, Lummniq. – KOSMO! ONLINE














