KUALA LUMPUR – Lokasi muzik ikonik di ibu negara, BoboKL, menjalinkan kerjasama dengan platform penstriman global Oh! Jazz bagi membawa persembahan muzik secara langsung dari Malaysia ke pentas antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada pemuzik tempatan memperkenalkan karya mereka kepada khalayak dunia.
Kerjasama itu diraikan menerusi persembahan Kebaya Jazz yang menampilkan pemain piano, Tay Cher Siang, bersama WVC Jazz Ensemble dan penyanyi, Ida Mariana.
Menerusi kolaborasi tersebut, BoboKL menyertai rangkaian venue muzik antarabangsa Oh! Jazz yang merangkumi Jepun, United Kingdom, Australia, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
Antara projek sulung yang diketengahkan ialah Malaysian Real Book, kompilasi yang mendokumentasikan khazanah muzik tempatan. Diterajui pengarah artistik bersama, Michael Veerapen dan Tay Cher Siang, projek itu menjadi platform untuk merakam, mengarkib serta memperkenalkan karya jazz Malaysia kepada penonton antarabangsa menerusi persembahan, interpretasi baharu dan kolaborasi antara pemuzik.
Pemilik merangkap pengasas bersama BoboKL, Deborah Michael berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya mengekalkan suasana persembahan intim yang menjadi identiti lokasi berkenaan, selain memperluas capaian kepada penonton antarabangsa.
“Sejak awal penubuhan, BoboKL sentiasa mengutamakan hubungan erat antara penghibur dengan penonton yang hadir menyaksikan persembahan.
“Kerjasama dengan Oh! Jazz membolehkan kami mengekalkan pengalaman intim itu sambil berkongsi persembahan berkenaan dengan penonton di luar Kuala Lumpur.
“Kami amat menghargai platform antarabangsa ini serta komitmen Jesús Perezagua dan pasukannya dalam menyokong penggiat seni menerusi kerjasama ini. Kami tidak sabar untuk membuka lebih banyak peluang kepada pemuzik yang membuat persembahan di BoboKL,” katanya.
Sementara itu, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Oh! Jazz, Jesús Perezagua berkata, jazz Malaysia memiliki identiti tersendiri hasil pertembungan pelbagai tradisi muzik tempatan dengan elemen jazz moden.
“Jazz Malaysia mempunyai identiti muzik yang amat asli dan tersendiri apabila tradisi ritma Melayu, Cina, India serta masyarakat pribumi bergabung dengan harmoni jazz moden.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan BoboKL sebagai platform utama untuk memperkenalkan jazz Malaysia kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.
Untuk rekod, Oh! Jazz menawarkan persembahan muzik secara langsung dan atas permintaan menerusi perkhidmatan penstriman berasaskan langganan dengan model perkongsian manfaat bersama artis serta venue yang mengambil bahagian.
Penonton boleh menikmati kandungan menerusi laman web dan peranti yang bersesuaian di www.ohjazz.tv. – KOSMO! ONLINE














