Gambar dikongsikan Asyraf Wajdi berhubung hidangan ayam masak kicap diterima sebahagian pelajar MRSM Tun Ghafar Baba di Jasin untuk makan malam baru-baru ini.

Syarikat pengusaha kantin MRSM Jasin boleh kena ‘blacklist’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AYER KEROH – Syarikat pengusaha kantin Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin berdepan tindakan senarai hitam jika terbukti cuai menyediakan makanan kepada pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak MRSM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebelum tindakan lanjut diputuskan.

Katanya, insiden ayam tidak dimasak sepenuhnya yang tular di media sosial itu amat dikesali kerana membabitkan keselamatan pelajar di sebuah institusi pendidikan, terutama ketika mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya kesal kerana kejadian ini berlaku dalam institusi pendidikan di negeri ini. Malah, berlaku terhadap pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting iaitu SPM,” katanya ketika ditemui di Seri Negeri hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Molek mengulas insiden itu susulan kenyataan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut melahirkan rasa kecewa terhadap kejadian ayam tidak dimasak sepenuhnya di kantin maktab berkenaan.

Difahamkan, syarikat pengusaha kantin berkenaan hanya mempunyai baki tempoh perkhidmatan lebih sebulan sebelum kontraknya tamat.

Mohd. Ridhwan berkata, sekiranya siasatan mengesahkan berlaku kecuaian, syarikat terbabit boleh disenarai hitam daripada beroperasi di mana-mana peringkat di Melaka sebagai pengajaran kepada pengusaha lain.

Sebelum ini, tular dakwaan pelajar MRSM Tun Ghafar Baba dihidangkan ayam masak kicap yang tidak dimasak sempurna ketika makan malam di dewan selera institusi itu.

Aduan berkenaan dikemukakan beberapa pelajar dan ibu bapa kepada Asyraf Wajdi sebelum beliau berkongsi perkara itu menerusi media sosial beserta beberapa keping gambar sebagai bukti.

Menurut beliau, laporan awal mendapati hidangan ayam masak kicap habis kira-kira jam 6.40 petang menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa menunggu sehingga jam 7.10 malam untuk mendapatkan makanan yang dimasak semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN