‘Kembali kejar bayang’ Sembilu 2.0 bakal gegar Stadium Merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETALING JAYA – Siapa sahaja yang membesar sekitar era 1990-an pasti tidak dapat melupakan magis cinta dan konflik ikonik dalam naskhah legenda berjudul Sembilu.
Selepas mencipta fenomena luar biasa dan mendapat sambutan hangat pada Februari lalu, kini debaran kembali memuncak! Buat anda yang masih belum ‘move on’ dengan aura luar biasa tiga bintang hebat, Datuk Awie, Datuk Ziana Zain dan Erra Fazira, bersiap sedialah untuk sebuah pertemuan epik yang pastinya mengundang rasa sebak dan teruja.
TJTM Entertainment dengan bangganya mengumumkan kemunculan Sembilu 2.0: The Last Reunion Live In Concert, sebuah persembahan berskala mega yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari 2027 (Sabtu), bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Mengangkat tema The Last Reunion, penganjuran kali ini membawa makna yang cukup mendalam sebagai sebuah pertemuan penuh bersejarah yang menghimpunkan kembali kenangan manis dalam industri hiburan tanah air.
Meneruskan momentum kejayaan edisi terdahulu, Sembilu 2.0 tampil dengan peningkatan ketara dari segi skala produksi, konsep persembahan, susunan muzik serta pengalaman hiburan yang jauh lebih eksklusif. Pemilihan Stadium Merdeka, sebuah lokasi ikonik yang sinonim dengan acara mega negara, jelas mencerminkan aspirasi penganjur untuk mengangkat konsert ini ke tahap tertinggi, sekali gus menjanjikan sebuah malam yang gah dan sukar dilupakan.
Apa yang membuatkan Sembilu 2.0 ini lebih mendebarkan? Pihak penganjur mengambil pendekatan untuk merahsiakan identiti barisan artis yang bakal terlibat buat masa ini demi mengekalkan elemen kejutan dan keterujaan menjelang pengumuman rasmi.
Namun, satu perkara yang pasti, peminat boleh menjangkakan rangkaian lagu-lagu malar segar yang lebih mantap dengan susunan muzik yang diperbaharui. Setiap segmen persembahan dirancang rapi untuk menghidupkan semula momen romantis, konflik jiwa, persahabatan, dan emosi yang menjadikan Sembilu terus melekat di hati peminat sehingga ke hari ini.
Di sebalik tabir penganjuran berskala besar ini adalah TJTM Entertainment, syarikat hiburan yang diterajui pereka fesyen tersohor tanah air, Ezuwan Ismail. Sebelum ini, Ezuwan telah membuktikan sentuhan magisnya menerusi kejayaan konsert Sembilu edisi pertama serta konsert 40 Dekad Fauziah Latiff di Plenary Hall, KLCC. Berbekalkan pengalaman luas dalam pengurusan acara dan produksi hiburan, TJTM Entertainment komited untuk memastikan Sembilu 2.0 menjadi sebuah naskhah pentas berkualiti tinggi yang membanggakan industri seni tempatan.
Buat para peminat setia, pastikan anda bersedia di hadapan skrin masing-masing kerana jualan tiket rasmi Sembilu 2.0 mula dibuka pada 27 November 2026 (Jumaat), tepat jam 12.00 tengah hari menerusi platform rasmi di ilassotickets.com.
Kenapa edisi kedua Sembilu 2.0 ini tidak harus dilepaskan, jujurnya ini bukan sekadar konsert, tetapi sebuah surat cinta buat zaman muda kita, sebuah pelukan nostalgia yang menyatukan setiap rindu, air mata dan kenangan indah yang pernah singgah di ruang hati.
Inilah The Last Reunion, detik magis di mana masa seakan-akan terhenti untuk satu pertemuan terakhir yang barangkali tidak akan pernah berulang lagi. – KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN