SEPANG – Kementerian Pendidikan (KPM) mencadangkan untuk mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu mulai 2029 selepas menyediakan tempoh peralihan secara pilihan kepada ibu bapa pada 2027 dan 2028.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, tempoh berkenaan akan digunakan bagi memastikan semua persiapan termasuk kemudahan infrastruktur, kurikulum dan latihan guru berada pada status bersedia sebelum pelaksanaan wajib dibuat.
Menurutnya, usaha persediaan telah dimulakan dan tidak akan dihentikan sepanjang tempoh peralihan terbabit bagi memastikan perancangan itu dilaksanakan mengikut sasaran.
“Daripada aspek infrastruktur, KPM menggunakan pendekatan pembinaan bilik darjah modular yang membolehkan keperluan ruang pembelajaran disediakan dalam tempoh lebih singkat, selain mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dan kapasiti prasekolah sedia ada.
“Kurikulum baharu juga telah disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun, manakala latihan guru turut diperkukuh bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran pedagogi bersesuaian untuk mengendalikan murid pada peringkat usia berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat KPM Bersama Media di sini hari ini.
Untuk maklumat, ketika ini, seramai 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun bagi memasuki tahun satu, sementara 418,151 lagi daripada kohort usia tujuh tahun.
Jumlah itu mencatatkan keseluruhan seramai 491,649 permohonan pendaftaran tahun satu bagi Kalendar Akademik 2027 yang diterima KPM setakat 30 September lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Azam berkata, pelaksanaan dasar wajib kemasukan tahun satu bagi umur enam tahun akan turut melibatkan keperluan meminda Akta Pendidikan 1966 (Akta 550).
Susulan itu, menurut beliau, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum perubahan besar dapat dilaksanakan.
“Ia antaranya keadaan ekonomi negara, kesiapsiagaan infrastruktur serta kemahuan politik (political will) untuk membuat komitmen terhadap reformasi berkenaan.
“Perubahan itu juga sebagai sebahagian daripada persediaan sistem pendidikan negara menghadapi cabaran masa depan termasuk perubahan demografi, negara menua, perubahan iklim dan perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi proses pembelajaran kanak-kanak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














