JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan pemilik kenderaan Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12.8 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Polis Azrol Anuar Nor berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.50 malam ditularkan di media sosial dan dimuat naik oleh pemilik akaun ‘Community Roda Johor’ pada pukul 6.55 pagi tadi.
Katanya, ketika kejadian seorang penunggang motosikal jenis Honda AFP 110 berumur 30an dalam perjalanan dari arah Kulai menghala ke Johor Bahru telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Produa Myvi.
“Akibat pelanggaran menyebabkan penunggang lelaki tersebut telah terjatuh di atas jalan raya sebelum kemudiannya dilanggar oleh dua buah kereta iaitu Proton Persona yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 37 tahun serta sebuah Mercedez C200 dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun.
“Kedua-dua kenderaan tersebut datang dari arah belakang melalui lorong yang sama di KM12.8, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Johor Bahru),” katanya dalam satu kenyaataan hari ini.
Tambah beliau, penunggang motosikal mengalami kecederaan patah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Orang ramai yang melihat kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp. Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966,” katanya. – KOSMO! ONLINE














