PUTRAJAYA – Selepas gagal menjawab desakan agar membubarkan parti Bersama setelah kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat mengalihkan perhatian dengan membuat tuduhan bahawa ada pihak yang membayar badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain untuk menyerang beliau.
Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, tindakan membuat tuduhan sedemikian tanpa mengemukakan bukti sudah menjadi amalan Rafizi yang mana kali ini dijadikan alasan menutup desakan bagi membubarkan parti Kancil yang disifatkan gagal dalam dua PRN.
“Saya tidak terkejut melihat ‘podcast’ Rafizi yang terbaru kerana amalan fitnah, adu-domba ini diibaratkan sudah sebati dengan beliau dan amalan seperti ini akan menjadi lebih kuat dan dahsyat selepas kekalahan demi kekalahan parti Kancil.
“Tetapi, apabila beliau tuduh bahawa pihak yang menyerang beliau ini dibayar oleh pihak tertentu tanpa kemukakan bukti, saya pula ingin bertanya Rafizi siapa yang membayar beliau untuk menyerang kerajaan dengan matlamat untuk menjatuhkan Pakatan Harapan terutama PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16,” katanya hari ini.
Sebelum ini, dalam podcast terbarunya, Rafizi mendakwa ada pihak tertentu yang membayar banyak NGO untuk mengadakan demonstrasi bagi menyerang beliau selain tindakan tersusun pelbagai pihak terutama Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi menyerang parti Kancil semasa PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Lum Yong menambah, pihaknya akan terus mendesak Rafizi selepas ini sehingga beliau memutuskan untuk bersara daripada politik kerana beliau adalah toksik yang perlu dihapuskan demi kestabilan negara.
“Selagi adanya politikus seperti Rafizi ini, politik dan ekonomi negara tidak akan stabil kerana beliau merasakan hanya apa sahaja yang beliau fikirkan dan buat sahaja betul, manakala yang lain semua salah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














