Kanak-kanak perempuan yang sedang dikesan ibu kandung serta warisnya oleh JKM Hulu Terengganu.

Mana ibu kandung budak ditemukan dalam kotak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu sedang berusaha mengesan ibu kandung serta waris seorang kanak-kanak perempuan yang ditemukan dalam kotak di luar pagar sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, di sini, tiga tahun lalu.

Usaha itu dilakukan bagi mendapatkan maklum balas daripada keluarga kandung kanak-kanak berusia tiga tahun satu bulan berkenaan sebelum mahkamah mengeluarkan kebenaran pengangkatan.

Dalam kejadian pada 5 Oktober 2023, bayi perempuan tersebut ditemukan orang awam kira-kira pukul 4.50 petang dalam sebuah kotak beralaskan tuala dengan keadaan tali pusatnya sudah dipotong.

Pemeriksaan di lokasi turut menemukan sebuah lagi kotak mengandungi kelengkapan bayi termasuk pakaian, tisu basah, minyak angin dan dua lampin pakai buang. Selain barangan tersebut, sekeping nota yang dipercayai ditinggalkan ibu kandung bayi berkenaan turut ditemukan.

Bayi itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kuala Berang oleh individu yang menemukannya sebelum dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu. Dia seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kanak-kanak tersebut pada awalnya ditempatkan di institusi JKM selama setahun dua hari sebelum diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) untuk penjagaan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti atau keberadaan ibu kandung serta waris kanak-kanak tersebut diminta menghubungi Pelindung JKM Hulu Terengganu, Rusmiza di talian 09-6811315.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN