Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menunjukkan baung ekor merah yang berjaya ditangkap di Kampung Ganding, Lipis hari ini.

137 baung ‘alien’ berjaya dikeluarkan dari Sungai Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Lebih satu tan ikan pemangsa asing berjaya dikeluarkan dari Sungai Pahang apabila 1,110 pemancing bergabung tenaga memburu 137 ekor baung ekor merah dalam operasi serentak di tujuh lokasi, semalam dan hari ini.

Program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest sempena Hari Perikanan Sedunia 2026 itu merekodkan hasil tangkapan keseluruhan seberat 1,046.66 kilogram dalam usaha mengekang ancaman spesies invasif berkenaan terhadap ekosistem sungai dan ikan tempatan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ancaman baung ekor merah tidak boleh dipandang enteng kerana spesies pemangsa itu berpotensi mengganggu rantaian makanan, bersaing mendapatkan habitat serta menjejaskan kelangsungan ikan tempatan.

Menurutnya, tindakan mengekang populasi ikan asing invasif perlu dilakukan secara berterusan dengan penglibatan semua pihak bagi memastikan keseimbangan ekosistem perairan darat tidak terjejas.

“Program ini merupakan pendekatan proaktif untuk mengurangkan populasi baung ekor merah di perairan Pahang.

“Ancaman spesies ikan asing invasif perlu ditangani secara berterusan bagi melindungi spesies ikan tempatan serta mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan keputusan pertandingan, Tanjung Gahai, Lipis muncul lokasi dengan berat tangkapan tertinggi sebanyak 193.50 kilogram membabitkan 16 ekor, diikuti Pekan dengan 191.44 kilogram (23 ekor) dan Kuala Krau, Temerloh sebanyak 182.38 kilogram (30 ekor).

Pemancing dari Tanjung Gahai, Muhamad Fauzi Ahmad turut meraih gelaran ikan terberat selepas berjaya mendaratkan baung ekor merah seberat 23.32 kilogram.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN