ORANG ramai menyerbu sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu kelmarin.

Harga emas tak akan cecah RM100 segram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Meskipun harga emas mencatatkan kemerosotan ke­tara sejak minggu lalu, logam berharga itu dijangka tidak akan menjunam seteruk kejatuhannya yang pernah berlaku 20 hingga 30 tahun lalu.

Berdasarkan rekod, harga emas dijual di bawah RM100 se­gram, kira-kira 20 tahun lalu.

Kejatuhan harga barangan logam itu ketika ini pula disifatkan sebagai aktiviti pela­rasan pasaran biasa susulan perubahan aliran dana global serta pasaran saham.

Berdasarkan indeks harga emas di Malaysia, barang kemas itu merekodkan nilai RM468.07 segram semalam.

Harga emas paling tinggi direkodkan tahun ini pada Januari lalu iaitu melebihi RM700 segram sebelum mula menunjukkan kejatuhan mulai ketara sejak September lalu.

Penurunan itu sekali gus mendorong peminat dan pengumpul barang kemas itu tidak melepaskan peluang untuk menambah koleksi atau menukar kepada rekaan terkini.

Penasihat Persekutuan Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas Malaysia, Datuk Chiah Hock Yew berkata, selain dipengaruhi turun naik saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), penurunan harga emas antarabangsa turut disebabkan pergerakan aliran dana dalam pasaran kewangan global.

“Bagi pengusaha emas, penurunan harga kali ini dianggap sebagai satu pelarasan pasaran yang normal.

“Namun, satu perkara yang perlu ditegaskan ialah walaupun harga emas mengalami pembe­tulan yang ketara dalam jangka pendek, ini tidak bermakna harganya akan kembali ke paras 20 hingga 30 tahun yang lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

HARGA emas dijangka tidak akan menjunam seperti 20 tahun lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Emas Malaysia berkata, susulan itu, pemilik emas tidak perlu bimbang dengan penurunan harga yang berlaku ketika ini kerana trend menunjukkan peningkatan (akan berlaku) dalam jangka panjang.

“Melihat trend harga sejak beberapa dekad lalu, emas secara amnya menunjukkan trend menaik dalam jangka panjang walaupun wujud tempoh penurunan sekali-sekala selepas tempoh pelarasan. Ia biasanya pulih secara beransur-ansur dan mungkin mencapai paras tertinggi baharu,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam jangka panjang, emas sebagai logam berharga mempunyai fungsi ter­tentu untuk memelihara nilai dan melindungi nilai daripada risiko.

Susulan itu, katanya, pelabur perlu kekal tenang selain memahami perkembangan pasaran dan membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewa­ngan masing-masing dan tidak
bertindak mengikut emosi akibat perubahan harga sementara.

“Apabila pasaran saham me­ngalami kejatuhan mendadak, sesetengah pelabur mungkin memilih menjual emas dimiliki bagi mendapatkan wang tunai, menambah modal pelaburan atau mengambil peluang membeli saham pada harga rendah.

“Pergerakan dana seperti ini turut memberikan tekanan kepada harga emas dalam jangka pendek. Pelabur juga perlu memberi perhatian kepada dasar simpanan emas dan aktiviti jual beli emas oleh bank pusat seluruh dunia.

“Kita tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa bank-bank pusat sedang menjual emas secara besar-besaran hanya berdasarkan penurunan harga pasaran,” ujarnya.

Menurutnya, pelabur turut dinasihatkan memahami tindakan sebenar bank-bank pusat bagi membantu mereka membuat penilaian lebih rasional serta tidak panik menghadapi turun naik harga emas.

“Sudah tentu, apabila melihat harga emas terus merosot, pelabur pasti berasa bimbang. Turun naik harga dalam jangka pendek tidak semestinya bermakna trend jangka panjang te­lah berubah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN