PELANGGAN tidak melepaskan peluang membeli barang kemas dengan rekaan terkini pada harga serendah RM440 segram di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, Kuala Terengganu kelmarin.

Pembeli berpesta serbu kedai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Penurunan harga emas serendah RM440 segram mencetuskan ke­terujaan dalam kalangan peminatnya apabila mereka tidak melepaskan peluang mendapatkan barang kemas itu pada harga lebih murah.

Tinjauan Kosmo! di beberapa premis di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mendapati, harga emas 916 baharu ditawarkan antara RM440 hingga RM455 segram, susut le­bih RM20 berbanding Khamis lalu.

Penurunan harga itu turut menyaksikan kedai emas diserbu pelanggan sejak awal pagi, sama ada untuk membeli barang kemas baharu mahupun menukar yang lama kepada rekaan terkini.

Seorang peniaga emas, Kamrul Ariffin berkata, premisnya tidak putus-putus menerima panggilan telefon daripada pe­langgan sejak semalam yang ingin mengetahui perkembangan harga emas semasa sebelum membuat keputusan untuk membeli.

“Apabila kedai mula dibuka pagi tadi (kelmarin), pelanggan sudah mula datang silih berganti. Memang nampak sambutan meriah apabila harga emas kembali murah,” katanya.

Menurutnya, walaupun kebanyakan pelanggan lebih berminat mendapatkan emas terpakai yang ditawarkan pada harga le­bih rendah, permintaan terhadap barangan baharu tetap ada.

PELANGGAN sanggup datang seawal pagi untuk mengambil peluang membeli barang kemas pada harga rendah di Kuala Pilah semalam.

Seorang pembeli, Nurul Najihah Mohammed, 33, berkata, kejatuhan harga emas itu memberi kelebihan kepadanya untuk mendapatkan barangan kemas dengan rekaan baharu tanpa perlu berbelanja lebih.

“Kebetulan kedai yang saya kunjungi tawar harga jual beli emas yang sama, jadi saya tidak rugi apabila menukar emas lama kepada emas baharu” ujarnya.

Bakal pengantin, Muhammad Amirul Hakim, 29, berkata, dia mengambil kesempatan membeli barang kemas untuk majlis pernikahannya tahun depan.

“Bila tengok harga emas turun, saya rasa lebih baik beli awal daripada tunggu saat akhir, takut harga naik menjelang hari bahagia. Sekurang-kurangnya satu perkara penting untuk persiapan kahwin telah selesai,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Pilah, tinjauan Kosmo! mendapati, premis menjual barang kemas penuh dengan pelanggan yang mahu melihat harga ditawarkan.

Seorang pelanggan yang ingin dikenali Intan, 36, berkata, dia bersyukur apabila impian untuk membeli emas tercapai selepas gagal menambah koleksi pada awal tahun lalu disebabkan harga emas mencecah RM700.

“Hari ini (semalam) saya dapat membeli seutas rantai dengan harga RM457 segram. Walaupun dalam nilai berat kecil di bawah lima gram, saya dapat juga membuat simpanan emas,” katanya.

Malah menurutnya, dia sempat membuat tinjauan di media sosial dengan ada antaranya yang berkongsikan harga emas segram di Kuala Pilah bermula RM443 segram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN