SELEPAS sekian lama menanti dengan penuh kesabaran, Farah Diana Anuar atau lebih dikenali sebagai Farah AF2, akhirnya berpeluang meloloskan diri ke pertandingan Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Menganggap penyertaan itu sebagai peluang keemasan, Farah mengakui hasrat untuk menyertai program realiti popular tersebut sudah lama tersemat dalam dirinya, malah sejak musim kedua lagi.
Dianggap sudah bersedia, Farah, 41, tampil dengan persiapan yang lebih matang, termasuk terbuka menerima segala kritikan dan teguran membina daripada barisan juri tetap sepanjang beraksi di gelanggang GV.
Malah, bagi mendepani tekanan dalam media sosial, Farah turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan artis seperjuangan mengenai cara terbaik menangani komen netizen.
“Kritikan juri itu penting sebab kita pun dengar untuk diri kita. Kalau netizen saya dah tanya kawan-kawan yang pernah sertai GV atau AF Megastar, contohnya Marsha dan Idayu, mereka kata ‘Kalau boleh jangan tengok dan baca. Tapi ada kelab peminat mesti mereka akan kemas kini cerita tentang kita.’
“Mereka harap saya elakkan baca berita-berita yang tak sepatutnya, insya-Allah saya cuba lah. Saya pula memang dah biasa ‘scroll’,” katanya kepada HibGlam.
Berbicara mengenai persaingan sengit dalam kalangan peserta wanita lain, pelantun Tak Tahu Antara Dua itu memilih untuk mempertaruhkan kekuatan pada aspek vokal yang diyakini menjadi tunjang utama pemarkahan dalam program tersebut.
“Dari segi ton suara berbeza, macam Stacy, dia lebih kepada persembahan dan menari.
“Jadi saya rasa kena betul-betul bersedia dari segi vokal untuk menampakkan yang kita masih lagi ‘maintain’ dan mampu menyanyi dengan baik dari segi vokal.
“Saya tengok dalam GV yang diutamakan memang vokal. Itulah yang perlu diasah dan dilatih sebaiknya, insya-Allah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Farah menegaskan bahawa statusnya sebagai seorang isteri dan ibu membataskan beberapa perkara, terutamanya dalam aspek pemilihan busana serta gaya persembahan di atas pentas.
“Dari segi pakaian, penata gaya saya tahu dan faham. Selalunya kami akan berbincang dan beritahu apa yang boleh, apa yang tidak boleh. Dari segi persembahan, saya rasa asalkan dia kena dengan penampilan kita. Saya pun bawa gelaran sebagai seorang isteri dan ada anak tiga.
“Jadi ada benda yang saya dah hadkan dan ada benda patut dijaga. Sebelum sertai ini pun saya dah bincang dengan suami,” jelasnya.
Meskipun sibuk dengan jadual latihan yang ketat bersama GVF, Farah yakin dapat membahagikan masa bagi memastikan tanggungjawabnya terhadap keluarga tidak pernah terabai.
“Rutin anak-anak saya sendiri yang uruskan. Hantar pergi sekolah, tuisyen dan latihan badminton. Ada hari yang saya dah janji (uruskan anak). Kami dah susun ketetapan dan aturkan semua. Mudah-mudahan dengan bantuan keluarga terdekat, semua dipermudahkan,” tutupnya.














