JERANTUT – Kira-kira 150 keluarga dari Kampung Baharu dan Kampung Som, kawasan Damak, di sini, bimbang sumber air bukit yang menjadi nadi kehidupan mereka terjejas jika cadangan pembalakan di Kompartmen 1, Hutan Simpan Jerantut Tambahan dilaksanakan.
Selain bekalan air untuk kegunaan aktiviti harian, pembalakan itu turut dibimbangi mengancam kelangsungan penternakan ikan air tawar serta ternakan kerbau, lembu dan kambing yang bergantung kepada sumber air semula jadi dari kawasan hutan berkenaan.
Pemandu pelancong Bukit Panau dan Lata Besen, Mohamad Hafizi Rosnan, 36, berkata, penduduk sudah lebih lima dekad bergantung kepada sumber air bukit yang disalurkan melalui sistem paip dari kawasan hutan simpan itu.
“Kira-kira 20 pengusaha kolam ikan di kawasan itu turut menggunakan sumber air tersebut. Bekalan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) pula kadangkala terputus,” katanya di sini baru-baru ini.
Mohamad Hafizi berkata, aktiviti pembalakan dikhuatiri menyebabkan sumber air tercemar seterusnya berkeladak, sekali gus menjejaskan pengusaha ternakan komersial serta pemilik inap desa di kawasan itu.
Sementara itu, penduduk Kampung Baharu, Muhammad Zarrif Mahmud, 35, berkata, kawasan Lata Besen mempunyai keistimewaan alam semula jadi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, aktiviti pembalakan besar-besaran dikhuatiri akan merosakkan keindahan dan kelestarian kawasan itu yang menjadi tumpuan orang tempatan serta pelancong luar sejak beberapa tahun lalu.
“Selain menjejaskan tarikan pelancongan, aktiviti pembalakan juga boleh mengakibatkan hakisan tanah terutama ketika hujan lebat sehingga menyebabkan aliran air berlumpur memasuki kawasan kampung dan pusat ternakan komersial,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Zuridan Mohd. Daud mendakwa, cadangan pembalakan di kawasan itu berpotensi mengancam ekosistem hutan serta kelestarian alam sekitar.
Katanya, perkara paling membimbangkan ialah sebahagian penduduk di kedua-dua kampung masih bergantung kepada sumber air tadahan dari Lata Besen untuk keperluan harian serta pengurusan ternakan.
“Sebarang permohonan untuk mengeluarkan hasil balak di kawasan itu sewajarnya ditolak oleh kerajaan negeri demi menjaga keselamatan dan kepentingan penduduk setempat,” katanya.














