PEMINAT sepak takraw tempatan disajikan dengan permainan kelas dunia menerusi penganjuran STL.

Sepak takraw makin popular, setanding bola sepak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

Perkembangan Liga Sepak Takraw (STL) sejak diperkenalkan semakin membuktikan bahawa sukan tradisional ini mempunyai potensi besar untuk menjadi antara sukan paling popular di Malaysia.

Penganjuran STL yang mendapat perhatian peminat bukan sahaja berjaya menghidupkan kembali minat terhadap sepak takraw, malah menjadikan gelanggang tumpuan penyokong yang mahu menyaksikan aksi pemain berkelas dunia.

Kehadiran penonton yang semakin ramai membuktikan sukan ini masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat.

Lebih menarik, penyertaan pemain luar negara termasuk dari Thailand dalam saingan STL turut meningkatkan nilai kompetitif liga berkenaan.

Thailand yang sememangnya terkenal sebagai kuasa besar sepak takraw dunia membawa persaingan lebih sengit, sekali gus memberi peluang kepada pemain tempatan menguji kemampuan menentang lawan bertaraf antarabangsa.

Perkembangan ini perlu dimanfaatkan untuk menjadikan sepak takraw sebagai produk sukan utama negara. Penganjuran STL secara lebih meluas, promosi melalui media sosial, siaran langsung perlawanan serta penglibatan lebih banyak sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh membantu melahirkan kelompok peminat baharu.

Persatuan sepak takraw juga perlu memastikan pembangunan bakat muda berjalan seiring dengan usaha meningkatkan profesionalisme liga. Jangan sampai kita hanya berbangga dengan kehebatan pemain import, sedangkan peluang melahirkan lebih ramai jaguh tempatan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Jika bola sepak dan badminton mampu menjadi fenomena nasional, tidak ada sebab sepak takraw tidak boleh mencapai kedudukan sama. Apa yang diperlukan ialah sokongan berterusan kerajaan, penaja, media dan rakyat.

Jadikan STL sebagai titik permulaan untuk mengangkat sepak takraw sebagai sukan nombor satu kebanggaan Malaysia.

Budak Siam
Alor Setar, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN