PUTRAJAYA – Seramai 5,000 peserta dijangka berhimpun pada Persidangan Negara Bangsa 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 30 November hingga 2 Disember ini bagi memperkukuh agenda pembinaan negara bangsa dengan golongan belia dikenal pasti sebagai ejen utama menjayakan usaha tersebut.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, persidangan ini merupakan antara inisiatif penting kementerian dalam memperkukuh agenda Pembinaan Negara Bangsa melalui penghayatan sejarah, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta pembentukan identiti nasional.
“Persidangan selama tiga hari akan menghimpunkan tokoh akademik terkemuka negara, ahli sejarah, pakar pelbagai bidang serta pemimpin masyarakat bagi membincangkan empat tema utama.
“Tema itu termasuk Perlembagaan dan Rukun Negara Teras Pembinaan Negara Bangsa selain Warisan dan Sejarah: Akar Identiti Nasional; Kepelbagaian, Keharmonian dan Kesepaduan Sosial serta Transformasi Negara Bangsa: Naratif Nasional, Ekonomi Inklusif dan Modal Insan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Antara pengisian utama persidangan ialah Syarahan Negarawan yang akan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang dijangka memberikan perspektif penting mengenai kenegaraan, perpaduan dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
Majlis Perasmian Penutup Persidangan Negara Bangsa 2026 pula dijadualkan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, penganjuran persidangan ini bukan sekadar menyediakan platform wacana akademik, sebaliknya menjadi medan pertemuan pemikiran, pengalaman dan aspirasi pelbagai pihak dalam membentuk kefahaman serta kesepakatan bersama mengenai hala tuju pembinaan negara bangsa.
“Dalam konteks Malaysia yang memiliki kepelbagaian etnik, agama, budaya dan bahasa, usaha membina negara bangsa perlu berpaksikan nilai kebersamaan dah semangat kekitaan.
“Ia juga termasuk rasa kepunyaan terhadap negara serta identiti nasional yang menyatukan seluruh rakyat tanpa menghakis keunikan kepelbagaian sedia ada,” katanya,
Jadi, Kementerian Perpaduan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, mahasiswa dan generasi muda, untuk bersama-sama menyertai Persidangan Negara Bangsa 2026 serta mengambil bahagian secara aktif dalam wacana mengenai masa depan negara.
“Golongan belia merupakan ejen utama pembinaan negara bangsa. Sebagai pewaris kepimpinan dan penentu masa depan negara, generasi muda bukan sekadar perlu memahami sejarah dan asas kenegaraan, malah harus menjadi penggerak dalam membentuk identiti nasionalz
“Pembinaan negara bangsa bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
“Justeru, penglibatan aktif generasi muda amat penting bagi memastikan aspirasi membina sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu padu, beridentiti nasional dan mempunyai semangat kebersamaan dapat diteruskan merentasi generasi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














