PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan penunggang motosikal berkumpul beramai-ramai sehingga menghalang laluan kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), berhampiran Puchong Perdana, awal pagi tadi mengundang kemarahan orang ramai.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu turut menyebabkan pengguna jalan raya berdepan kesukaran untuk meneruskan perjalanan apabila laluan dipenuhi puluhan motosikal.
Menerusi perkongsian video oleh pengguna Threads, @wacana_my, kelihatan sekumpulan besar penunggang motosikal berkumpul di kawasan persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah jejambat.
Rakaman tersebut turut memperlihatkan beberapa kenderaan terpaksa bergerak perlahan ketika melalui kawasan berkenaan susulan kehadiran motosikal yang memenuhi sebahagian laluan.
Lebih membimbangkan, kumpulan penunggang motosikal terbabit dilihat berada di tengah-tengah jalan meskipun lampu isyarat menunjukkan warna hijau untuk kenderaan meneruskan perjalanan.
“Rempit lagi jam 4.30 pagi di LDP Puchong Perdana. Boleh sekat jalan pula? Macam mana kereta nak lalu?” tulis pemilik akaun berkenaan.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial dengan lebih 41,000 tontonan setakat artikel ini ditulis.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan kumpulan penunggang motosikal berkenaan yang disifatkan tidak bertanggungjawab selain membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Seorang pengguna Threads, @nadie_chan mendakwa kegiatan tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya berlaku hampir setiap hujung minggu sehingga mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran.
“Setiap minggu, malam Jumaat ke Sabtu dan malam Sabtu ke Ahad mereka ada di situ. Dahulu mereka mula berkumpul sekitar pukul 12 hingga 1 pagi, sekarang lebih pukul 3 pagi.
“Kami hendak tidur pun terganggu mendengar bunyi bising motosikal mereka. Rumah kami terletak di belakang LDP. Kadang-kadang terdengar juga bunyi polis mengejar mereka,” katanya.
Sementara itu, @azimsulaiman turut berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi sama ketika melalui laluan berkenaan sehingga mempersoalkan keberadaan pihak berkuasa.
“Saya pernah melalui kawasan itu dan mengalami keadaan seperti ini. Kadang-kadang terfikir, di manakah anggota polis yang membuat rondaan?” soalnya.
Seorang lagi pengguna, @nfisman turut meluahkan rasa kecewa melihat tindakan kumpulan berkenaan yang sanggup berkumpul beramai-ramai pada awal pagi.
“Sedihnya tengok anak muda sekarang kadang-kadang tidak faham apa nikmat berkumpul beramai-ramai macam ini,” komennya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














