KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanan miliknya berjumlah RM111,631 lesap selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 56 tahun itu telah melakukan sebanyak 16 transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh kira-kira sebulan bermula 15 Oktober hingga 16 November lalu.
Menurutnya, kejadian bermula pada 14 Oktober lalu apabila mangsa terlihat iklan menawarkan pelaburan saham ketika melayari Facebook di rumahnya.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudian menghubungi nombor telefon tertera pada iklan berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Mangsa kemudiannya berurusan dengan dua individu berbeza yang menerangkan kaedah serta syarat pelaburan selain menjanjikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Terperdaya dengan tawaran tersebut, mangsa mengikut segala arahan diberikan termasuk membuat pemindahan wang secara berperingkat ke enam akaun bank berbeza,” katanya.
Azli berkata, keseluruhan urusan pelaburan tersebut dilakukan secara dalam talian tanpa sebarang pertemuan bersemuka antara mangsa dengan individu terbabit.
Menurutnya, mangsa menggunakan wang miliknya sendiri untuk tujuan pelaburan berkenaan, namun tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan. – KOSMO! ONLINE














