Tangkap layar video tular curi kabel di TREC (kiri) dan kereta sebenar milik wanita itu.

Curi kabel TREC: ‘Kereta saya diklon model dan nombor plat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila kereta miliknya didakwa mempunyai persamaan dari segi model, warna dan nombor pendaftaran dengan sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan kejadian curi kabel di hadapan TREC Kuala Lumpur, semalam.

Wanita berkenaan mendakwa, kenderaan jenis Honda Jade berwarna biru gelap miliknya telah diklon oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi hantaran di Threads, wanita yang menggunakan nama akaun @jagungcheesetar ikn9 menjelaskan, dia menyedari perkara itu selepas rakaman video memaparkan sebuah kereta yang didakwa digunakan dalam kejadian berkenaan tular.

“Seperti yang semua tahu, ada satu kes kecurian kabel di TREC KL pagi (semalam) dan salah satu daripada kereta yang digunakan adalah sama seperti kereta saya iaitu Honda Jade berwarna biru gelap.

“Kereta saya telah diklon oleh penjenayah tersebut dan saya telah pun membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Laporan polis yang dimuat naik wanita berkenaan.

Menurut wanita itu, kejadian tersebut merupakan satu lagi dugaan yang perlu dihadapinya bersama keluarga menjelang penghujung tahun ini.

“Dugaan di hujung tahun 2026. Semoga kami tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Wanita berkenaan turut memuat naik beberapa keping gambar kereta miliknya bersama tangkap layar rakaman video kenderaan yang tular serta salinan laporan polis sebagai menjelaskan situasi sebenar.

Dalam ruangan komen, wanita itu mengakui terkejut apabila mendapati bukan sahaja nombor pendaftaran, malah rupa kenderaan yang tular juga menyerupai keretanya.

“Ya kak, terkejut sangat tiba-tiba viral nombor plat kereta dan kereta pun sama,” katanya membalas komen seorang pengguna Threads.

Sementara itu, seorang pengguna Threads, @00862.tk sebelum ini turut mengaitkan kenderaan dalam video tular dengan pemilik perniagaan jagung keju, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap wanita berkenaan.

Seorang lagi pengguna, @nor4ziera meluahkan kebimbangan selepas mengetahui perkara sebenar yang dikongsikan wanita itu.

“Tadi tengok juga video itu tetapi tidak perasan pula nombor platnya. Dalam hati sudah terdetik, sama macam kereta Rynn. Aduhai, semoga dipermudahkan urusan Rynn. Hati-hati, okey,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan beberapa kenderaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel di hadapan TREC Kuala Lumpur pada pagi, semalam.

Rakaman tersebut turut memperlihatkan sebuah kereta Honda berwarna biru gelap yang kemudian menjadi perhatian pengguna media sosial susulan persamaan dengan kenderaan milik wanita berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN