Khadam terbaik FFM35, bolot 10 trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menang besar, filem seram Khadam terbitan Red Communications (Redfilms) dan Komet Productions dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 sekali gus membawa pulang geran Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta beserta trofi.

Kemenangan karya yang mengutip lebih RM5.12 juta itu melenyapkan impian empat buah filem lain iaitu Macai (Skyzen Studios), Mother Bhumi (Janji Pictures Production), Malam Terlarang (Astro Shaw & Infinitus Productions), dan Abah Saya Uncle Mike (Astro Shaw) meraih trofi Filem Terbaik FFM35.

Pengarahnya yang juga turut diumumkan pemenang trofi Pengarah Terbaik FFM35, Shamyl Othman menyifatkan kemenangan filem yang dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan Jun Lojong itu sebagai penghargaan buat seluruh pasukan produksi.

“Filem Khadam ini mengangkat cerita tentang kekuatan kaum wanita. Jadi saya berdiri di sini atas bahu-bahu wanita-wanita yang kuat di belakang dan di depan tabir naskhah ini.

“Saya juga ingin berikan satu terima kasih khas kepada penulis skrip, Fariza Azlina Isahak kerana beri peluang kepada saya untuk mengarah naskhahnya,” katanya.

Selain Filem Terbaik, Khadam membawa pulang sepuluh daripada 12 trofi kategori utama lain seperti Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Sementara itu, Ezrie Gazali yang merupakan sutradara Abah Saya Uncle Mike turut diumumkan sebagai Pengarah Harapan sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Aktres Indonesia, Aghniny Haque yang juga teraju Khadam dan filem Badak diumumkan menerima Anugerah Khas Juri malam ini.

Penerima Anugerah Khas Karyawan iaitu Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Panchacharam P. Nalliah dan pemilik dua trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Ahmad Yatim serta Fauziah Ahmad Daud turut menerima wang tunai RM10,000.

Pemenang 28 kategori menerima wang tunai RM5,000 dan trofi, manakala pemenang Anugerah Khas Karyawan dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman menerima RM10,000 dan trofi.

Buat edisi kali ini, sebanyak 73 karya menyertai FFM35 yang merangkumi 39 filem cereka, 17 dokumentari dan 17 filem pendek.

Anugerah yang dihoskan oleh Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson itu bertemakan Spektrum Sinema yang melambangkan kepelbagaian warna, perspektif, idea serta kreativiti dalam dunia perfileman Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Pemenang FFM35:

Dokumentari Terbaik: Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin (Kayu Malam Productions Sdn Bhd)

Filem Pendek Terbaik: Salted Fish (Ikan Masin) (Kapsul Studio Sdn Bhd)

Poster Terbaik: Blues (Firdaus Mustapa)

Rekaan Kostum / Busana Terbaik: Aida Fitri Buyong (Gayong 2)

Tatarias / Solekan Terbaik: Jessie Yeow (Khadam)

Lagu Tema Terbaik: Tak Berlagu — Komposer: NJWA & Rendra Zawawi / Lirik: NJWA / Penyanyi: Ernie Zakri (Khadam)

Skor Muzik Asal Terbaik: Rendra Zawawi (Khadam)

Kesan Khas Visual Terbaik: Ameen Mustajab (Malam Terlarang)

Penataan Seni Terbaik: Soon Yong Chow (Mother Bhumi)

Penataan Bunyi Terbaik: Soo Yuen Yiet (Khadam)

Penyunting Terbaik: Soo Mun Thye (The Waves Will Carry Us)

Sinematografi Terbaik: Haris Hue (Khadam)

Lakon Layar Terbaik: Fariza Azlina Isahak (Khadam)

Cerita Asal Terbaik: Sun-J Perumal (Macai)

Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team (Tarung: Unforgiven)

Pelakon Wanita Harapan: Aila Azizul (Malam Terlarang)

Pelakon Lelaki Harapan: Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Jordan Kuan (The Waves Will Carry Us)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ezarra Nurzhaffira (Zarra Zhaff) (Khadam)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kuben Mahadevan (Macai)

Pelakon Wanita Terbaik: Aida Amron (Badak)

Pelakon Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Badak)

Pengarah Harapan: Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)

Pengarah Terbaik: Shamyl Othman (Khadam)

Filem Terbaik: Khadam (Red Communications Sdn Bhd & Komet Productions Sdn Bhd)

Anugerah Khas Karyawan: Panchacharam P. Nalliah

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Ahmad Yatim

Anugerah Khas Sepanjang Zaman: Fauziah Ahmad Daud

Anugerah Khas Juri 1: Aghniny Haque (Khadam)

Anugerah Khas Juri 2: Filem Badak

Anugerah Khas Filem Box Office: Monsta Studio (Papazola The Movie)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN