PETALING JAYA – Gara-gara memetik nama penyanyi popular, Aina Abdul ketika mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), hos Datuk Afdlin Shauki dikecam netizen, terutamanya peminat penyanyi itu.
Afdlin secara berseloroh meminta agar sesiapa yang memakai baju persis Aina untuk duduk di belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
“Aina Abdul atau orang yang pakai baju macam dia diminta duduk di belakang dewan kerana anda menghalang kamera dan YB Fahmi mungkin tak nampak jika anda duduk di depan,” katanya.
Gurauannya itu lantas mendapat kecaman netizen dalam media sosial terutamanya dalam Threads.
Menurut netizen, sebagai hos anugerah berprestij, Afdlin tidak sepatutnya memetik nama individu yang tidak mempunyai kaitan dengan acara tersebut apatah lagi menyindir cara seseorang berpakaian.
“Nak tanya ni lawak spontan atau berdasarkan skrip. Kalau skrip masa raptai tak rasa ke lawak ini agak biadab dan berlebihan?
“Nak masuk tahun 2027 kenapa masih ada lagi lawak-lawak hambar dan bodoh petik nama orang itu ini? Dan kenapa nak sebut nama individu yang tak hadir pun di majlis tu? Dah tak ada topik berilmiah ke kalian nak ceriakan suasana majlis itu?, komen netizen.
Bukan sahaja netizen, malah beberapa figura terkenal dalam industri seni juga dilihat kurang senang dengan gurauan itu termasuklah Datuk Fazley Yaakob dan Arja Lee.
“Aina Abdul tetap nama penting untuk Industri muzik tempatan. “Kalau tak ada tak apalah” bukan caranya untuk menjentik urat ketawa hadirin, busana ‘shaming’ sama lah macam ‘body shaming’ bila berkaitan Aina.
“Zaman lawak kurang cerdik dah berlalu. Jom beralih dengan lawak yang ada kebijaksanaan sikit. Boleh ke?,” liah Fazley dalam Threads.
Bagi Arja Lee pula, dia menyifatkan momen itu sebagai sesuatu yang memalukan kerana berlaku dalam sebuah acara yang penuh berprestij.
“Sangat memalukan bila ini berlaku dalam sebuah malam anugerah yang dikatakan berprestij di Malaysia.
“Sangat sedih sebenarnya. Kemenangan di pentas antarabangsa sepatutnya menjadi kebanggaan bersama, bukan bahan lawak atau sindiran. Hello!
“Sebab itu skrip yang baik sangat penting. Walaupun semasa bercakap secara spontan atau tanpa persediaan rapi, anda tetap memerlukan panduan yang sewajarnya.
“Sila kaji, fahami, dan hadam skrip anda. Penyampaian yang baik lahir daripada persediaan yang rapi! Lain kali hubungi saya, ya!,” tulisnya.
Selain memanas dek lawak ‘Aina’ yang dirasakan tidak kena tempat, penyampaian Afdlin sebagai hos FFM35 bersama pelakon jelita, Amelia Handerson dalam acara yang berlangsung di Istana Budaya turut dikatakan hambar.
Kemuncak Festival Filem Filem Malaysia ke-35 disiarkan secara langsung menerusi TV2. – KOSMO! ONLINE














