Fauziah Ahmad Daud diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35). - AFIQ RAZALI

FFM35: ‘Terima kasih Allah bagi saya nikmat ini selagi bernafas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bakat dan jasa selama lima dekad diangkat, seniwati Fauziah Ahmad Daud diumumkan menerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di sini, hari ini.

Menurut Fauziah atau mesra disapa sebagai Ogy, 56, dia mendedikasikan kejayaan tersebut buat arwah ibunya, Allahyarham Seniwati Saadiah yang menjadi pencetus utama pembabitannya dalam dunia lakonan.

“Terima kasih Allah kerana memberi saya peluang merasai nikmat ini sementara saya masih bernafas.

“Terima kasih kepada semua pihak. Selepas lima dekad mengembara dalam dunia seni tanpa sekelumit minat pun pada awalnya, saya pernah bertanya kepada diri sendiri dan jawapan yang saya dapat — ini adalah rahsia Tuhan,” katanya.

Tambahnya, segala pencapaian dan ilmu lakonan yang ditimba sehingga ke hari ini adalah berkat bimbingan arwah ibunya serta tunjuk ajar para guru yang banyak mencorak jati dirinya sebagai anak seni.

“Kerana Tuhan telah menggerakkan hati, maka arwah mak saya melihat bakat dalam diri ini sedangkan saya sendiri buta.

“Melalui tangannya, saya terus mencari ilmu daripada guru-guru hebat yang menekankan kejujuran dalam setiap naskhah.

“Jadi, trofi ini adalah milik semua guru saya, para penerbit, penulis, pengarah, kru belakang tabir dan rakan seperjuangan termasuk barisan pelakon yang berkongsi nafas dengan saya di set penggambaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, bintang filem Azura itu turut menitipkan pesanan bermakna buat generasi pelapis agar sentiasa meletakkan kejujuran dan disiplin sebagai teras utama dalam berkarya.

“Kepada para pelapis yang bakal berdiri di pentas ini suatu hari nanti, satu pesanan saya, gemilang populariti hanya sementara dan wajah kita akan dimamah usia. Namun, dengan kejujuran jiwa serta disiplin, nama akan terus hidup selamanya.

“Nyalakan terus obor seni kalian untuk generasi akan datang kerana seni tidak akan pernah mati.

“Mak, saya dapat trofi ini kerana mak,” ujarnya yang turut membawa pulang RM10,000 beserta trofi.

Selain Ogy, trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman turut diberikan kepada aktor legenda Ahmad Yatim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN